Isnin, 8 Februari 2016

BUAT INGATAN KITA SEMUA : RINGKASAN TENTANG FITNAH - MAKSUD, BAHAYA DAN AKIBATNYA




Terdapat banyak artikel-artikel yang boleh kita temui didalam internet yang mengupas, memberi pengertian dan membicarakan tentang perbuatan fitnah disamping memberi contoh dan akibat yang akan atau mungkin akan berlaku susulan dari perbuatan fitnah tersebut baik didunia mahu pun diakhirat, sekiranya kita tidak bertaubat dari perbuatan tersebut. Disini saya petik secara ringkas dan padat apa yang saya rasa perlu untuk memberi kefahaman diri sendiri sebagai panduan dan pedoman semoga kita terhindar dari perbuatan tersebut baik secara kita sedari atau pun tidak.

Ketika seseorang menyebut "FITNAH", apakah biasanya yang terlintas didalam benak kita? Apakah makna FITNAH yang dimaksudkan oleh orang tersebut?

Pusat Rujukan Persuratan Melayu Online, mendefinasikan FITNAH seperti berikut :


iaitu, "Tuduhan yang diada-adakan untuk memburukkan atau membencanakan seseorang dan lain-lain".


INGATAN ALLAH SWT TENTANG FITNAH


SEBAGAI manusia, selagi hidup kita akan berinteraksi dengan orang lain. Setiap hari kita berkomunikasi dengan orang di sekeliling dan dari situ kita dapat memproses maklumat serta membina hubungan dalam bermasyarakat.

Orang yang enggan berinteraksi sebenarnya adalah orang yang tidak berada dalam realiti kehidupan yang hakiki dan dia sebenarnya tidak menunaikan tuntutan sebagai manusia.

Orang yang suka bersendirian akan lebih terdedah kepada hasutan syaitan sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi SAW:

"Sesungguhnya syaitan itu seperti serigala kepada manusia sebagaimana serigala kepada ternakan. Ia menerkam kambing yang bersendirian dan terpencil. Maka, jauhilah kamu daripada berpecah belah, dan wajiblah kamu bersama-sama jemaah, orang ramai dan masjid." (Hadis Riwayat Ahmad)

Namun, dalam kehidupan bermasyarakat, kita perlu menjaga akhlak dalam percakapan dengan orang lain. Ketika berkomunikasi, antara perkara penting yang perlu diberi perhatian adalah kebenaran fakta yang disampaikan kepada kita dan sejauh mana ketepatan maklumat yang kita sampaikan kepada orang lain.

Bak kata pepatah “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya”.

Islam menganggap fitnah satu daripada sifat mazmumah (tercela) dan dilarang Allah seperti dalam firman-firman-Nya yang bermaksud:
"... Fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan ..."
(QS Al-Baqarah 2:191)
"Jangan kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina, yang banyak mencela, yang gemar menyebarkan fitnah."
(QS Al-Qalam 68:10-11)


Oleh itu, kita perlu menjaga dua perkara dalam berinteraksi iaitu input dan output. Dikebanyakan waktu dan ketika, kita perlu mempunyai usaha dalam menapis maklumat yang diterima.

Justeru, Allah SWT memerintahkan kita untuk menganalisa dan mengkaji terlebih dahulu maklumat yang kita perolehi. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."
(QS Al-Hujurat 49:6)

Sikap tabayyun (menyelidik dan menentukan kesahihan) ini sangat perlu kerana berkemungkinan maklumat yang sampai kepada kita adalah tidak benar ataupun merupakan fitnah yang sengaja dicipta untuk memburukkan seseorang.

Dalam hal ini pendekatan yang betul sangat penting agar kita tidak terperangkap. Justeru, apabila menerima satu-satu maklumat jangan mudah menerimanya tanpa terlebih dahulu dipastikan kebenarannya atau difahami maklumat berkenaan.

Sebagai contoh, seorang hakim tidak boleh membuat keputusan tanpa bersikap adil dalam memperolehi maklumat. Justeru, hakim perlu memanggil kedua-dua pihak sama ada tertuduh atau yang menuduh.

Kita tidak boleh menghukum seseorang dengan sentimen. Islam mengajar kita menghukum berdasarkan maklumat yang tepat.

Ia seperti yang disebut dalam satu kaedah, “Menjatuhkan satu-satu hukuman dalam sesuatu perkara hendaklah berdasarkan tasawur (bukti, fakta) yang jelas tentang perkara tersebut”.

Imam Ghazali dalam buku Ihya Ulumuddin menjelaskan perbuatan membocorkan rahsia orang lain dan menjejaskan kehormatannya dengan cara membuka rahsianya yang tidak mahu diketahui orang lain dianggap sebagai perbuatan mengadu-domba dan fitnah.

Mengenai berita benar dan berita tidak benar yang disebarkan tanpa kebenaran atau kerelaan orang berkaitan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Adakah kamu semua mengetahui apakah ghibah (mengumpat)?

Sahabat menjawab: "Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui."

Lalu Baginda meneruskan sabdanya: "Kamu berkata mengenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya."

Lalu ditanya oleh seorang sahabat: "Walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya?"

Rasulullah bersabda lanjut: “Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)

Larangan mencari dan membocorkan rahsia orang lain jelas dilarang Allah seperti dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.
(QS Al-Hujurat, 49:12). 

Justeru, setiap Muslim perlu bijak menilai sesuatu berita bagi mengelak daripada menerima dan kemudian (terikut-ikut) menyebarkan sesuatu berita berunsur fitnah (tanpa dia sendiri menyedarinya).

Perkara pertama perlu diberi perhatian untuk memastikan kesahihan berita ialah memastikan sumber berita itu, yakni siapakah yang mula menyebarkan berita dan rantaian orang yang membawa berita itu. Umat Islam tentu tidak lupa pada sejarah menyebabkan kematian khalifah ketiga kerajaan Islam di Madinah iaitu Uthman Affan, yang berpunca daripada fitnah disebarkan kumpulan ekstremis agama.

Penyebaran fitnah turut menjadi penyebab kepada peperangan sesama Islam atau perang saudara ketika zaman pemerintahan Saidina Ali dan zaman selepas itu.

Munir al-Ghadban menyebut dalam kitabnya berkenaan Muawiyah bin Abi Sufyan: “Aku tidak berpendapat bahawa adanya suatu peribadi di dalam sejarah umat Islam yang terdiri daripada kalangan para sahabat yang awal, yang ditarbiah dengan tangan Rasulullah SAW dan mereka yang hidup dengan wahyu langit, lalu diperburukkan, dibohongi mengenainya dan didustakan kepadanya seperti yang terkena pada Muawiyah bin Abi Sufyan r.a…”

Fitnah juga meruntuhkan kekuatan Bani Umaiyah, malah, sejarah kejatuhan empayar besar kerajaan Melayu Melaka juga tidak terkecuali kerana fitnah.

Ubat bagi penyakit hati ialah dengan memperbanyakkan taubat dan selalu berzikir.


Beberapa Hadis Rasulullah SAW Mengenai Fitnah

1. "Tidak akan masuk syurga pembawa fitnah." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

2. "Yang paling dikasihi oleh Allah di antara kamu adalah : mereka yang baik akhlak, yang merendahkan sayapnya (diri), yang suka dengan orang dan yang disukai orang. Manakala yang dimurkai oleh Allah adalah : mereka yang pergi membawa fitnah, yang mencerai-beraikan di antara saudara dan mencaci orang yang tidak bersalah akan kesalahannya." (Hadis riwayat At-Tabharani dan Abu Hurairah r.a.)

3. Abu Zhar Al-Ghiffari berkata, Rasullullah SAW bersabda : "Barangsiapa menyiarkan terhadap orang muslim satu perkataan untuk memalukannya dengan tidak sebenarnya, nescaya dia akan diberi malu oleh Allah dalam neraka pada hari kiamat." (diriwayatkan oleh Ibnu Abid Dunya)

4. Abu Darda berkata : Rasulullah SAW bersabda : "Lelaki manapun yang menyiarkan terhadap seseorang satu perkataan dimana orang itu terlepas (tiada tersangkut dengan perkataan tersebut), untuk memalukannya di dunia, nescaya berhak Allah menghancurkan lelaki itu pada hari kiamat dalam api neraka."

5. Diriwayatkan Ka'bul Ahbar, bahawa kemarau telah menimpa kaum Bani Israil. Lalu Nabi Musa berdoa meminta hujan berulang-ulang. Tetapi tidak juga diturunkan hujan kepada mereka. Maka Allah SWT menurunkan wahyu kepada Musa : "Sesungguhnya Aku tidak menerima doa engkau dan doa orang-orang yang bersama engkau, di mana di kalangan engkau itu ada nammaam (pembawa fitnah), yang berkekalan buat fitnah". Maka Nabi Musa berdoa : "Wahai Tuhanku, siapakah orang itu? Tunjukkanlah, siapakah orang itu? Tunjukkanlah kepadaku pembuat fitnah itu, sehingga aku dapat mengeluarkannya dari kalangan kami". Tuhan berfirman : "Hai Musa! Aku melarang kamu dari namimah (pembuat fitnah)". Maka bertaubatlah mereka semua. Lalu diturunkan hujan kepada mereka.

6. Diriwayatkan dari Umar bin Abdul Aziz bahawa seorang lelaki datang kepadanya menerangkan sesuatu tentang orang lain. Maka Umar berkata kepadanya: "Kalau engkau mahu, maka kami akan memperhatikan tentang keadaanmu. Kalau engkau dusta, maka engkau termasuk orang yang disebut dalam ayat ini. "Kalau datang kepadamu orang fasik yang membawa berita, periksalah dengan saksama". Dan kalau engkau benar maka engkau termasuk orang yang disebut dalam ayat ini", "Suka mencela, berjalan membuat hasutan dan fitnah". Kalau engkau kehendaki, nescaya kami memaafkan engkau. Lalu lelaki itu berkata : "Maaf wahai Amirul Mukminin. Dan aku tidak akan mengulangi lagi untuk selama-lamanya."

7. Imam Al-Ghazali mengatakan bahawa : "Tukang fitnah tidak dapat dipercayai kata-katanya dan tidak diterima sedekahnya. Sesungguhnya fitnah ditegakkan di atas kedustaan, kedengkian dan kemunafikan. Kesemua sifat ini adalah tungku dapur kehinaan."


BAHAYA FITNAH DALAM BERAGAMA


Penyebar fitnah bukan hanya dari kalangan orang-orang kafir (yahudi dan nasrani) sahaja, ianya juga berlaku diantara sesama Islam, dan golongan kedua inilah yang terlalu amat merbahayanya, kerana ia boleh menyebabkan perpecahan dikalangan umat Islam, khususnya. Mereka-mereka ini selalunya bertopeng dengan ayat-ayat Al-Quran dan As-Sunnah serta memperlihatkan diri sebagai orang-orang  yang ingin kembali kepada sunnah Rasulullah SAW dan mereka ini biasanya adalah tokoh-tokoh agama palsu yang kurang berilmu dan tidak berpengetahuan luas dalam agama sehingga boleh menyebabkan terjadi kekeliruan diantara para pengikutnya.

Kerana itulah Rasulullah SAW mengingatkan kita agar sentiasa berhati-hati kepada manusia-manusia yang mengaku beragama Islam tetapi diumpamakan oleh Rasulullah SAW seperti Da'i yang berada diambang pintu neraka Jahannam, kerana mereka tidak merasa senang apabila melihat umat Islam berpegang teguh dan mengamalkan Islam secara keseluruhannya, dan mereka ini (penyebar ajaran sesat) kebiasaannya bertujuan menggunakan pengaruh serta mengambil kesempatan bagi mendapatkan keuntungan peribadi diri mereka sendiri.

Rasulullah SAW bersabda :

"Maka sesungguhnya darahmu dan hartamu haram diganggu sebagaimana haramnya kamu mengganggu saudaramu pada hari ini (Arafah), pada bulan ini (Dzulhijjah) dan dinegeri ini (Makkah), sampai engkau menjumpai Rabbmu". (HR Bukhari 6/412)

Wahai penyebar fitnah!

Semoga hendaknya kita sama-sama waspada, kita mungkin terlepas dari hukuman dunia, akan tetapi ingatlah siksaan diakhirat nanti adalah teramat lebih hinanya.

Agar kita tidak menjadi pengumpat dan pemfitnah, mari kita perhatikan tentang bahaya-bahayanya :

* PENYEBAR FITNAH AKAN MENDAPAT SEKSAAN

Firman Allah SWT :
"Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang, kamu tidak mengetahui."
(QS An-Nur 24:19)

* PEMFITNAH AKAN MENANGGUNG PEMBOHONGAN DAN DOSA

Allah SWT berfirman :
"Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang yang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul pembohongan dan dosa yang nyata."
(QS Al-Ahzab 33:58)

* MELENYAPKAN AMAL BAIK APABILA TIDAK DISELESAIKAN DIDUNIA

Dari Abu Hurairah ra. Rasulullah SAW bersabda :

"Barang siapa yang merasa dirinya menzalimi saudaranya, hendaklah dia membebaskannya, kerana tidaklah disana dia memiliki satu dinar dan satu dirham berupa kebaikan melainkan akan diambil oleh saudaranya, maka jika ia tidak memiliki kebaikan, akan diambilkan dosa saudaranya lalu dilemparkan kepada dirinya."
(HR. Bukhari 2269)

* PENYEBAR FITNAH MENGINGKARI AL-QUR'AN

Sebagaimana firman Allah SWT :
"Sesungguhnya yang mengada-adakan pembohongan, hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah, dan mereka itulah orang-orang pendusta."
(QS An-Nahl 16:105)

* LEBIH BERAT DOSANYA DARIPADA PEMAKAN RIBA

Rasulullah SAW bersabda :

"Sesungguhnya paling beratnya dosa riba orang yang selalu memperlecehkan kehormatan orang muslim tanpa dalil yang benar."
(HR Abu Dawud : 14/163, bersumber dari Sa'id bin Zaid)

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani."
(QS Al-Hujarat 49:12)

* MEMFITNAH BERERTI MENZALIMI SAUDARANYA

Rasulullah SAW bersabda :

"Tidaklah halal seorang muslim menzalimi seorang muslim lainnya."
(HR Abu Dawud : 14/344)

* PENYEBAR FITNAH AKAN MENERIMA AZAB ALLAH SWT

Kerana sesungguhnya tidaklah satu kalimat pun yang keluar dari mulutnya melainkan malaikat mencatatnya.

Allah SWT berfirman :
"Tidaklah suatu ucapan pun yang diucapkannya melainkan ada disisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menulisnya)."
(QS Qaf  50:18)