Jumaat, 8 Januari 2016

SOAL JAWAB : SEDEKAH, KETENTUAN DAN GANJARAN




SOALAN :

  1. Bagaimanakah ketentuan (urutan) yang berhak menerima sedekah?

  2. Adakah memberi sebahagian rezeki yang saya terima dari hasil usaha bekerja kepada orang tua saya termasuk sedekah?


JAWAPAN :


Sedekah kepada sesiapa pun akan mendapat ganjaran balasan dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Walau pun begitu, sedekah itu ada beberapa tingkatannya :

  1. Kepada kedua orang-tua.
  2. Kepada mertua.
  3. Kepada isteri dan anak-anak.
  4. Kepada kaum keluarga, seperti saudara kandung, bapa dan ibu saudara (baik dari pihak bapa kita atau dari pihak ibu kita ), anak-anak saudara, dan ipar-duai.
  5. Kepada anak-anak yatim.
  6. Kepada orang-orang miskin.
  7. Kepada orang-orang yang kesempitan kewangan.
  8. Kepada teman seperjalanan.
  9. Kepada jiran tetangga yang dekat.
  10. Kepada jiran tetangga yang jauh.
  11. Kepada orang-orang yang bekerja dengan kita (pembantu, pemandu kereta, dan yang lain-lain).
 (Ini berdasarkan keterangan Al-Qur'an dalam Surat An-Nisa' Ayat 36 dan 37).


"Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, kaum-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, dan teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri."
(QS. An-Nisa', 4:36)

"(iaitu) orang-orang yang kikir, dan menyuruh orang lain berbuat kikir, dan menyembunyikan kurnia Allah yang telah diberikan-Nya kepada mereka. Dan Kami telah menyediakan untuk orang-orang kafir seksa yang menghinakan."
(QS. An-Nisa', 4:37)


Apabila seseorang bersedekah kepada ibubapanya, diakhirat kelak dia akan memperoleh pahala yang amat besar dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala, sementara didunia pula dia diberikan berkat dan rahmat Allah serta rezeki yang berlimpah sebagai balasan dariNya. Bagi sedekah yang diberikan kepada isteri, anak dan kaum kerabat, Nabi menjanjikan pahala dua kali ganda berbanding bersedekah kepada fakir miskin dan yang lainnya.

Menurut Al Qur'an surat Al-Baqarah ayat 261, pahala bersedekah kepada fakir miskin saja akan dibalas paling sedikit 700 kali ganda dari jumlah yang disedekahkan. Ini bererti ganjaran Allah SWT untuk memberi sedekah kepada anak, isteri dan kaum keluarga paling sedikitnya (jika dikira menggunakan angka) bersamaan 1400 kali ganda banyaknya. Subhanallah......!
"Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipat-gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya."
(QS Al-Baqarah, 2:261)


Didalam Islam, para isteri yang bekerja dan mempunyai gaji sendiri, atau isteri yang memiliki harta yang banyak, tidaklah wajib memberi nafkah kepada suaminya. Dan, suaminya pula tiada hak untuk meminta wang dari isterinya. Namun, jika si isteri bersetuju dan rela memberikan wangnya untuk membantu nafkah yang merupakan kewajipan suaminya, maka si isteri sebegini di sisi Allah akan memperoleh pahala yang berlimpah kali ganda. (Hadis sahih, mengenai isteri Ibnu Mas'ud Radhiyallahu 'anhu yang bertanya Nabi tentang bantuan yang telah diberikannya kepada suaminya Ibnu Mas'ud yang miskin).


Bagi ingatan dan panduan kita semua

Kedudukan kedua ibubapa atas anaknya sangat istimewa dalam Islam. Dikisahkan oleh Nabi kita, jika seorang anak yang telah berkahwin atau berumahtangga, datang ke rumah orangtuanya, dan mereka mendapati ada makanan, anak itu tidak halal menjamah makanan tersebut tanpa meminta izin orangtuanya terlebih dahulu. Sebaliknya, jika orangtua tadi berkunjung ke rumah anaknya, dan mendapati ada makanan dirumah itu, maka orangtua itu berhak memakan makanan tersebut tanpa terlebih dahulu meminta izin dari anaknya.

Semoga kita termasuk dalam golongan orang-orang yang suka bersedekah membantu sesiapa sahaja yang memerlukan. Dalam satu hadis, Nabi menjanjikan pahala sedekah kepada seseorang yang menanam suatu pohon buah, kemudian buah-buah dari pohon itu dimakan burung, maka sipenanam pohon pun akan mendapat ganjaran pahala dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Nabi bersabda : "Orang pemurah itu dekat kepada Allah, dekat kepada Malaikat, dekat kepada manusia, dekat kepada syurga dan JAUH dari neraka. Sedangkan orang yang kedekut, atau pun bakhil, jauh dari Allah, jauh dari Malaikat, jauh dari manusia, jauh dari syurga, dan DEKAT keneraka ... !" Dalam hadis yang lain Nabi bersabda : "Manusia yang terbaik adalah orang yang paling banyak memberi manfa'at kepada orang lain" (HR. Tabrani, Hasan).

Wallahu A'lam Bishshowab


Baca juga Kehebatan Sedekah