Mendidik anak memerlukan ilmu pengetahuan yang cukup dan seorang ‘role-model’ untuk diteladani. Bagi umat Islam, contoh teladan yang terbaik adalah rasul junjungan yang mulia, Nabi Muhammad S.A.W. Baginda umpama ensiklopedia sebagai penyuluh buat segenap manusia.
Semua anak yang dilahirkan adalah pembawa rahmat dan rezeki buat semua
keluarga. Mereka dilahirkan penuh dengan kelebihan dan keistimewaan.
Tiada istilah mereka dilahirkan membawa ‘nasib malang’ atau tidak elok
buat kita.
Dilema ibubapa hari ini apabila setiap usaha yang mereka lakukan untuk
mendidik anak-anak umpama mencurah air didaun keladi. Tiada apa
perubahan positif yang terjadi pada tingkahlaku mereka. Jika tugas
sebagai seorang guru di sekolah boleh mendidik beratus-ratus anak murid,
tetapi ianya bukan jaminan kita mampu mendidik pada anak sendiri.
Tertanya-tanya dimanakah silapnya.
Baik guru, pensyarah mahupun pakar motivasi semuanya adalah manusia
biasa. Tiada satu formula yang ideal dalam usaha membentuk anak-anak
untuk menjadi orang yang cemerlang. Apa yang terbaik adalah berbalik
kepada fitrah dan sunnah yang telah sekian lama diamalkan oleh
Rasulullah S.A.W.
4 Tahap Mendidik Anak Mengikut Sunnah
1) Umur anak-anak 0-6 tahun. Pada masa ini,
Rasulullah s.a.w menyuruh kita untuk memanjakan, mengasihi dan
menyayangi anak dengan kasih sayang yg tidak berbatas. Berikan mereka
kasih sayang tanpa mengira anak sulung mahupun bongsu dengan bersikap
adil terhadap setiap anak-anak. Tidak boleh dirotan sekiranya mereka melakukan kesalahan walaupun atas dasar untuk mendidik.
Kesannya, anak-anak akan lebih dekat
dengan kita dan merasakan kita sebahagian masa membesar mereka yang
boleh dianggap sebagai rakan dan rujukan yang terbaik. Anak-anak merasa
aman dalam meniti usia kecil mereka kerana mereka tahu yang anda
(ibubapa) selalu ada disisi mereka setiap masa.
2) Umur anak-anak 7-14 tahun. Pada tahap ini kita mula menanamkan nilai DISIPLIN dan TANGGUNG-JAWAB kepada
anak-anak. Menurut hadith Abu Daud, “Perintahlah anak-anak kamu supaya
mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka
kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur sepuluh tahun dan
asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan). Pukul
itu pula bukanlah untuk menyeksa, cuma sekadar untuk menggerunkan
mereka. Janganlah dipukul bahagian muka kerana muka adalah tempat
penghormatan seseorang. Allah SWT mencipta sendiri muka Nabi Adam.
Kesannya, anak-anak akan lebih
bertanggungjawab pada setiap suruhan terutama dalam mendirikan solat.
Inilah masa terbaik bagi kita dalam memprogramkan sahsiah dan akhlak
anak-anak mengikut acuan Islam. Terpulang pada ibubapa samada ingin
menjadikan mereka seorang muslim, yahudi, nasrani ataupun majusi.
3) Umur anak-anak 15- 21 tahun. Inilah fasa remaja yang penuh sikap memberontak. Pada
tahap ini, ibubapa seeloknya mendekati anak-anak dengan BERKAWAN dengan mereka. Banyakkan berborak dan berbincang dengan mereka tentang
perkara yang mereka hadapi. Bagi anak remaja perempuan, berkongsilah
dengan mereka tentang kisah kedatangan ‘haid’ mereka dan perasaan mereka
ketika itu. Jadilah pendengar yang setia kepada mereka. Sekiranya tidak
bersetuju dengan sebarang tindakan mereka, elakkan
mengherdik atau memarahi mereka terutama dihadapan adik-beradik yang
lain tetapi banyakkan pendekatan secara diplomasi walaupun kita adalah
orang tua mereka.
Kesannya,
tiada orang ketiga atau ‘asing’ akan hadir dalam hidup mereka sebagai
tempat rujukan dan pendengar masalah mereka. Mereka tidak akan
terpengaruh untuk keluar rumah untuk mencari keseronokkan memandangkan
semua kebahagian dan keseronokkan telah ada di rumah bersama keluarga.
4) Umur anak 21 tahun dan ke atas. Fasa ini adalah masa ibubapa untuk memberikan sepenuh KEPERCAYAAN kepada anak-anak dengan memberi KEBEBASAN
dalam membuat keputusan mereka sendiri. Ibubapa hanya perlu pantau,
nasihatkan dengan diiringi doa agar setiap hala tuju yang diambil mereka
adalah betul. Bermula pengembaraan kehidupan mereka yang sebenar di
luar rumah.
Insha’Allah dengan segala displin yang diasah sejak tahap ke-2 sebelum ini cukup menjadi benteng diri buat mereka. Ibubapa
jangan penat untuk menasihati mereka, kerana mengikut kajian nasihat
yang diucap sebanyak 200 kali terhadap anak-anak mampu membentuk
tingkahlaku yang baik seperti yang ibubapa inginkan.
Curahkan Kasih Sayang dengan Bermain Bersama-sama Mereka
Tiada manusia dilahirkan tanpa titik permulaan. Sesungguhnya fasa yang
terpenting dalam tumbesaran setiap anak-anak adalah pada fasa yang
pertama mengikut didikan Rasulullah S.A.W seperti di atas. Tahap ini
dianggap paling penting kerana ketika inilah asas @ foundation dalam kerohanian anak-anak yang sihat terbentuk.
Mengikut ujian tingkah laku, anak-anak yang diberi perhatian dan kasih
sayang yang cukup akan membesar dengan penuh yakin dan lebih mudah
mendengar kata. Sebaliknya bagi anak-anak yang kurang diberi perhatian,
mereka mudah memberontak dengan melakukan perkara yang ditegah walaupun
berulang kali ditegur. Mereka percaya itulah cara terbaik bagaimana
untuk menarik perhatian anda semula.
Petikan dari Excel Qhalif