Ahad, 10 Januari 2016

TANGGUNGJAWAB ANAK KEPADA KEDUA INSAN BERGELAR IBUBAPA




Redha Allah SWT terletak pada redha kedua ibubapa kita


Ibubapa merupakan insan yang paling rapat dan dihormati dalam institusi keluarga. Mereka banyak berkorban dalam membesarkan dan memberi didikan kepada anak-anak. Mereka tidak pernah meminta atau mengharapkan balasan atau bayaran terhadap penat lelah, pengorbanan dan kasih sayang yang mereka berikan.Walau pun sianak kemudiannya mencuba berbakti sepanjang hayatnya dia masih tidak akan mampu membalas jasa baik kedua ibubapanya.

Dewasa ini ramai anak-anak yang tidak menghormati ibubapa mereka. Perkara ini amat serius kerana perlakuan sebegini boleh merosakkan sistem sosial dan kekeluargaan. Anak-anak telah hilang rasa hormat, sering bercakap dengan nada tinggi dan kasar, bahkan ada yang berani memukul kerana tidak sependapat atau berselisih faham. Yang lebih teruk, ada yang tidak segan silu menyaman ibubapa mereka jika menyentuh atau mempersoalkan hal peribadi mereka. Inilah kelemahan sistem manusia yang sering dikatakan untuk memenuhi hak asasi manusia tetapi tidak pernah mampu mendidik dan membentuk peribadi yang mulia.

Islam mengajar agar anak-anak menghormati ibubapa dan menghargai pengorbanan mereka. Perintah ini banyak terdapat dalam Al-Quran yang menunjukkan bahawa perkara ini amat penting.

"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)"
(QS Luqman, 31:14)

“Kami perintahkan [wajibkan] kepada manusia berbuat baik kepada kedua ibubapa …”
(QS Al-Ahqaf, 46:15)

Menghormati dan taat kepada ibubapa akan mewujudkan suasana yang harmoni, damai dan tenang dalam keluarga. Hadis Rasulullah dibawah wajar diperhati sebagai peringatan kepada kita dalam menjaga adab dengan ibubapa.

“Bukanlah daripada golongan kami, sesiapa yang tidak menghormati orang tua kamu dan tidak pula mengasihi anak kecil kamu.” (Hadis riwayat Tabrani).

Rasulullah tidak mengiktiraf mereka yang tidak menghormati ibubapa mereka termasuk dalam golongan muslim beriman. Dalam hadis yang lain, perbuatan derhaka kepada kepada ibubapa merupakan maksiat yang akan dibalas dengan segera di dunia ini.

Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia adalah zina dan menderhaka kepada dua ibu bapa.” (Hadis riwayat At-Tirmizi)

Dalam hadis lain diriwayatkan Al-Hakam bermaksud: "Semua dosa akan ditangguhkan Allah, yakni balasan menurut kehendakNya hingga kehari kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa. Maka, sesungguhnya Allah menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa hidupnya sebelum mati."

Menderhaka kepada kedua ibubapa merupakan dosa yang besar dan sangat dimurkai oleh Allah. Perkara ini diberikan contoh yang lebih mendalam dan lebih kecil sehingga kepada perkataan dan ucapan seharian.

Allah melarang anak-anak melawan ibubapa mereka dengan nada yang kasar yang boleh menyentuh hati seperti perkataan ‘ah’, ‘cis’, ‘uh’ dan sebagainya.

"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "ah", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)"
(QS Al-Isra’, 17:23)

Perkara ini mungkin nampak kecil, namun Allah tetap menekankan agar manusia mengambil peringatan dalam menjaga adab dan sebagai batas-batas dan aturan yang perlu diikuti demi keharmonian hidup.

Sebagai anak, wajar kita sentiasa bertutur dengan lemah lembut dan mengucapkan kata-kata yang baik dan menyenangkan hati mereka. Dan lebih-lebih lagi kita dituntut agar mendoakan kesejahteraan mereka.

“Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, “Wahai Tuhanku, sayangilah keduanya sebagaimana mereka telah mendidik aku pada waktu kecil"”
(QS Al-Isra’, 17:24)

Menghormati dan berbakti kepada ibubapa merupakan suatu perkara yang sangat disukai oleh Allah dan termasuk dalam perbuatan yang menjadi keutamaan yang tinggi.

Diriwayatkan daripada Bukhari dan Muslim, Ibnu Umar berkata: Saya telah bertanya kepada Nabi Muhammad: "Apakah perbuatan disukai oleh Allah?" Lalu baginda bersabda: "Sembahyang pada waktunya." "Kemudian apa?" tanya saya lagi. Baginda menjawab: "Berbakti kepada kedua ibu bapa." Saya bertanya: "Apa lagi?" Jawab baginda: "Berjihad pada jalan Allah."


UNTUK IBUBAPA YANG TELAH MENINGGAL DUNIA


Ketika ditanya oleh seorang sahabat daripada kaum Ansar mengenai masih adakah tanggungjawabnya terhadap ibubapa yang sudah meninggal dunia, Rasulullah menjawab dengan sabdanya bermaksud: “Ada, iaitu berdoa, beristighafar untuk kedua-duanya, menyempurnakan janji, memuliakan sahabat taulan kedua-duanya dan menyambungkan silaturahim yang tidak sempat dijalinkan oleh kedua-duanya.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Apabila meninggal seseorang itu, maka terputuslah segala amalannya, melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah yang berterusan memberi manfaat, ilmu yang memberi kebaikan diajarkan kepada orang lain dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan kepada kedua ibu bapanya." (Hadis riwayat Muslim).

Marilah kita bersama-sama menyemai kasih sayang dan mewujudkan keharmonian dalam keluarga sehingga diberkati dan mendatangkan sakinah. Semoga keharmonian dalam keluarga akan menyemarakkan lagi kesejahteraan dan kualiti hidup bermasyarakat.

Disamping itu marilah kita hadiahkan Al-Fatihah untuk ibu atau bapa atau kedua-duanya yang telah meninggalkan kita buat selama-lamanya :



Ringkasan cara berbakti kepada kedua ibubapa

  • Sentiasa doakan kebaikan dan kesejahteraan mereka; sama-ada semasa mereka masih hidup atau telah meninggal dunia.
  • Menghulurkan bantuan kewangan atau kebendaan bila diperlukan; terutama semasa mereka menghadapi kesulitan kewangan atau memerlukan bantuan dalam bentuk lainnya.
  • Menyediakan tempat tinggal yang sempurna; dan paling baik jika dapat dibawa tinggal bersama kita.
  • Menghormati dan memberi kasih sayang sepenuhnya; supaya mereka tidak merasa tersisih atau tidak dipedulikan atau dilupakan.
  • Sentiasa memberi perhatian dan luangkan masa bersama mereka; dan seboleh-bolehnya janganlah mereka dihantar kerumah penjagaan orang-tua kerana ini akan membuat mereka berkecil hati dan sedih berpanjangan. Mereka sangat gembira jika anak-anak sentiasa mengunjungi atau ada bersama mereka.
  • Utamakan memenuhi permintaan mereka seadanya; kerana ini membuat mereka rasa dihargai.
  • Melakukan apa yang mereka sukai dan inginkan; kerana ini lebih baik daripada melakukan perkara-perkara sunat lainnya.
  • Berlemah lembut dan bersopan santun serta tidak membantah; kerana ini adalah perintah Allah SWT kepada manusia, agar tidak menyinggung hati dan perasaan mereka.
  • Hadiahkanlah pencapaian kejayaan hidup kita sebagai kejayaan mereka membesar dan mendidik kita; dengan meraikan bersama-sama mereka setiap kejayaan seperti kenaikan pangkat, gaji, mendapat jawatan yang lebih baik, membeli rumah atau kereta baharu dan sebagainya, dan berikan ucapan terima kasih sebagai penghargaan atas penat lelah dan jasa-bakti mereka mendidik sehingga kita berjaya dalam hidup, pasti mereka akan mengingatinya sampai bila-bila (saya telah berkesempatan melakukan perkara ini hasil tunjuk-ajar dari seorang guru, dan saya sendiri dapat melihat dari kegembiraan diwajah mereka, pasti mereka merasa bangga dan memandangnya sebagai salah satu pencapaian terbaik dan terbesar dalam kehidupan mereka. (Dan perkara inilah yang sering kita terlupa) - [penulis]).
    Lakukanlah wahai saudara/saudari pembaca sekelian kerana Rahmat Tuhan akan melimpahi hidup dan kehidupan kita didunia dan akhirat sebagai ganjarannya.

    (Rujukan : Islam Itu Indah, dan : Seribu Pilihan)


    Bagi ingatan dan panduan kita semua

    Kedudukan kedua ibubapa atas anaknya sangat istimewa dalam Islam. Dikisahkan oleh Nabi kita, jika seorang anak yang telah berkahwin atau berumahtangga, datang ke rumah orangtuanya, dan mereka mendapati ada makanan, anak itu tidak halal menjamah makanan tersebut tanpa meminta izin orangtuanya terlebih dahulu. Sebaliknya, jika orangtua tadi berkunjung ke rumah anaknya, dan mendapati ada makanan dirumah itu, maka orangtua itu berhak memakan makanan tersebut tanpa terlebih dahulu meminta izin dari anaknya.