Khamis, 14 Januari 2016

TAUBAT : PENGERTIAN, PELAKSANAAN, HUKUM, SYARAT, TANDA PENERIMAAN DAN CARANYA




Dengan kekuatan tekad untuk mencapai redha Allah SWT dan dengan penuh harapan kita ditempatkan kedalam golongan "hamba-hamba"-Nya diakhirat nanti, marilah kita sama-sama fahamkan pengertian TAUBAT dan mengetahui tanda-tanda adakah taubat kita telah diterima-Nya.


PENGERTIAN


Taubat adalah dasar utama untuk membersihkan diri dari dosa zahir mahu pun batin. Taubat sama dengan asas untuk suatu bangunan dan sama dengan akar bagi suatu pohon. Kerana itu taubat harus dilaksanakan dengan sebaik-baiknya iaitu taubatan nasuha, bermakna seseorang bertaubat zahir batin dan berazam (bertekad bulat) untuk tidak melakukan dosa lagi.

Orang yang tidak bertaubat dengan taubat nasuha, adalah sukar baginya untuk meningkatkan kualiti iman dan taqwa atau untuk meningkatkan kebersihan rohaniahnya pada tingkat-tingkat atau makam-makam dalam peramalan seterusnya. Kerana itu dikatakan bahawa orang yang tidak bertaubat, maka tidak ada makam baginya, sebagaimana halnya orang yang tidak mempunyai tanah, tentunya tidak dapat membuat asas bangunan dan tidak boleh membangunkannya.

Hakikat taubat ialah kembali dari sifat-sifat tercela kepada sifat-sifat terpuji. Ianya terhasil kerana takut ancaman azab Allah SWT atau malu dilihat Allah atau menghormati kebesaran Allah SWT, supaya tidak terjerumus kedalam murka Allah SWT, disamping mengharapkan keselamatan dengan dekat kepada Allah, sehingga mendapatkan rahmat dan redha-Nya.

Seorang sufi terkenal iaitu Ibrahim bin Adham mengatakan hati seseorang mukmin itu laksana cermin. Kalau cermin itu bersih, maka dia akan melihat dan menerima cahaya ketuhanan yang memancarkan iman dan taqwa. Hati yang bersih itu juga melihat bahaya-bahaya perbuatan mungkar, termasuk juga mengetahui bahaya-bahaya yang dibisikkan oleh syaitan. Kalau seseorang berbuat dosa, maka pada cermin hati itu tertutup oleh suatu bintik hitam, dan bintik hitam itu akan  hilang dengan sendirinya apabila seseorang itu bertaubat. Sekiranya seseorang itu tidak bertaubat, dan mengulangi perbuatan maksiat terus menerus, maka tertutuplah seluruh hati itu dengan bintik-bintik hitam, dan pada saat itu hati tersebut tidak sanggup lagi menerima nasihat kebaikan, bahkan menjadi butalah hatinya untuk mendapatkan kebenaran dan kebaikan agama, dan menganggap mudah seluruh urusan akhirat. Orang tersebut sentiasa bergelumang dengan kebesaran dan kemegahan dunia. Apabila dibicarakan kepadanya masalah agama dan akhirat dengan segala akibatnya, semuanya itu masuk dari telinga kanan dan keluar ketelinga kiri, serta tidak sedikit pun tergerak dalam hatinya untuk bertaubat. Keadaan yang demikian ini sama dengan seorang yang sakit parah, tidak bermanfaat lagi makanan baginya, sebagaimana halnya hati yang telah berkecimpung dengan cinta dalam kemegahan dunia dan tidak bermanfaat lagi baginya semua nasihat dan peringatan. Maka menjadilah dia seperti yang dikisahkan dalam Al-Quran :
" ... Sesungguhnya mereka telah putus asa terhadap negeri akhirat sebagaimana orang-orang kafir yang telah berada dalam kubur berputus asa."
(QS. Al-Mumtahanah, 60:13)

Atau seperti firman Allah SWT :
" ... Pada hari datangnya ayat dari Tuhanmu, tidaklah bermanfaat lagi iman seseorang kepada dirinya sendiri yang belum beriman sebelum itu, atau dia (belum) mengusahakan kebaikan dalam masa imannya. Katakanlah: "Tunggulah olehmu sesungguhnya Kamipun menunggu pula"."
(QS. Al-An'am, 6:158) 


PELAKSANAAN TAUBAT


Taubat seseorang itu diterima oleh Allah SWT sebelum ajal (sakaratul maut) tiba. Kerana salah satu syarat taubat itu ialah tekad bulat hati seseorang untuk meninggalkan maksiat dan tidak akan mengulanginya lagi untuk selama-lamanya. Bagi seseorang yang sudah meninggal dunia, mustahil syarat ini dipenuhi. Seorang yang membuat maksiat, yang maksiat itu menutup mata hati dan merosak iman, harus segera bertaubat. Melengah-lengahkan taubat, bererti memperbesar penutup mata hati, yang kalau berlarutan akan lebih sulit lagi untuk membersihkannya. Firman Allah SWT :
"Dan tiadalah taubat itu diterima oleh Allah dari orang-orang yang mengajarkan kejahatan (yang) hingga apabila datang ajal kepada seseorang di antara mereka, (barulah) ia mengatakan: "Sesungguhnya saya bertaubat sekarang. ..."
(QS. An Nisa', 4:18)

Firman Allah SWT :
"Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, ..."
(QS. An Nisa', 4:17)

Sabda Rasulullah SAW : "Sesungguhnya kebanyakan teriakan penghuni neraka itu adalah dari penundaan-penundaan." (Al-Hadis)

Sabda Rasulullah SAW : "Ikutilah kejahatan dengan kebaikan, nescaya kebaikan itu akan menghapus kejahatan itu." (Al-Hadis)

Sabda Rasulullah SAW : "Sesungguhnya kebaikan-kebaikan itu membersihkan kejahatan-kejahatan sebagaimana air membersihkan kotoran." (HR Abu Naim)

Orang yang bertaubat itu dikasihi dan disukai Allah SWT, firman-Nya :
" ... Sesungguhnya Allah SWT menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri."
(QS. Al-Baqarah, 2:222)

Sabda Rasulullah SAW : "Orang yang bertaubat itu kekasih Allah SWT dan orang yang bertaubat itu seperti orang yang tidak mempunyai dosa" (HR Ibnu Majah dari Ibnu Mas'ud)

Syarat orang bertaubat untuk menjadi kekasih Allah SWT adalah memenuhi segala ketentuan, sepertimana dalam firman Allah SWT :
"Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji, yang melawat, yang ruku', yang sujud, yang menyuruh berbuat makruf dan mencegah berbuat munkar dan yang memelihara hukum-hukum Allah. ..."
(QS. At-Taubah, 9:112)

Sebaliknya orang yang bertaubat tapi masih bergelumang dengan maksiat, samalah dengan orang itu mempermainkan ayat-ayat Allah. Firman Allah SWT :
"Dan (ada pula) orang-orang lain yang mengakui dosa-dosa mereka, mereka mencampurbaurkan pekerjaan yang baik dengan pekerjaan lain yang buruk. ..."
(QS. At-Taubah, 9:102)

Sabda Rasulullah SAW : "Orang-orang yang memohon ampun dari dosa, sedangkan dia masih terus menerus mengerjakannya adalah seperti orang yang mengejek ayat-ayat Allah." (HR Ibnu Abid Dunya dari Ibnu Abbas)


DASAR (KETENTUAN) HUKUM


Hukum taubat itu wajib berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah. Firman Allah SWT :
" ... Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung."
(QS. An-Nur, 24:31)

Firman Allah SWT :
"Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubatan nasuhaa (taubat yang semurni-murninya) ..."
(QS. At-Tahrim, 66:8)

Sabda Rasulullah SAW : "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada bentuk jasmani kamu, tetapi Allah melihat kepada hati kamu." (HR Muslim)

Sabda Rasulullah SAW : "Sesungguhnya Allah membuka tangan-Nya dimalam hari untuk menerima taubat dari kejahatan disiang hari dan membuka tangan-Nya disiang hari untuk menerima taubat kejahatan dimalam hari sampai matahari terbit dari sebelah barat." (HR Muslim dan An Nasai)

Dari penjelasan ayat dan hadis tersebut, maka para ulamak muhaqqiqin mengatakan bahawa bertaubat itu hukumnya wajib. Allah akan menerima taubat seseorang dan kerananya seseorang itu tidak boleh berputus asa, sebab Allah itu Maha Penerima taubat.

Firman Allah SWT :
"Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; ..."
(QS. Az-Zumar, 39:53)


SYARAT-SYARAT TAUBAT


Syarat taubat itu adalah :

  1. Mohon ampun atau bertaubat dan menyesali perbuatan-perbuatan yang telah lalu.

  2. Berazam atau bertekad bulat untuk tidak mengulanginya lagi selama-lamanya.

  3. Mengembalikan hak-hak orang yang teraniaya kepada yang berhak menerimanya. Jika perbuatan itu berkaitan dengan orang, hendaklah dia berjumpa orang itu, berbuat baik kepada mereka dan menghilangkan dendam kesumat kepada mereka. Sewajarnyalah orang yang telah bertaubat berlatih untuk menjadi orang taat kepada perintah Allah SWT, sehingga dia merasakan manisnya taat lebih dari manisnya maksiat. Seseorang itu memulakan dengan pencarian yang halal, bekerja dengan tuntunan hukum syariat Allah SWT sehingga tidak lagi terlihat dia seorang yang jahat atau 'ashi, tetapi terlihat sebagai orang yang soleh.

Allah mewahyukan kepada Nabi Daud a.s. yang bermaksud : "Wahai Daud, pengaduan orang yang berdosa lalu dia bertaubat dengan taubat nasuha lebih Aku sukai dari teriakan orang yang beribadat" (Amin Kurdi 1994 : 376)

Sabda Rasulullah SAW : "Ada dua titisan yang sangat disukai oleh Allah SWT, iaitu titisan airmata dari tangisan orang yang takut kepada Allah dan titisan darah yang tertumpah dalam perang sabilillah." (HR Tarmizi)


TANDA-TANDA TAUBAT DITERIMA


Ada 8 (lapan) tanda-tanda yang taubat diterima :

  1. Seseorang itu takut dalam urusan lidahnya supaya jangan berbicara tentang hal-hal yang tidak baik, apalagi yang mendatangkan dosa yang dilarang dalam agama. Umpamanya : berdusta, mengumpat, menfitnah dan perkataan-perkataan yang tidak bermanfaat. Sedangkan lidahnya sendiri ingin disibukkan dengan berzikir dan membaca Al-Quran.

  2. Seseorang itu takut dalam urusan perutnya agar jangan termakan sesuatu yang haram dan kerana itu dia tidak memasukkan kedalam perutnya itu kecuali yang halal.

  3. Seseorang itu takut dalam urusan penglihatannya, jangan terlihat yang haram. Dan kalau pun dia memandang masalah dunia, pandangannya itu adalah pandangan yang memberi ibarat dan iktibar.

  4. Seseorang itu takut dalam urusan tangannya, jangan terambil sesuatu yang haram. Dan kalau pun tangannya mengambil tentunya sesuatu yang diambil itu membawa taat kepada Allah SWT.

  5. Seseorang itu takut dalam urusan kakinya, jangan berjalan ketempat maksiat. Dan kalau pun kakinya berjalan ianya tentu menuju taat kepada Allah SWT.

  6. Seseorang itu takut dalam urusan hatinya, jangan terjadi urusan permusuhan, benci dan dengki; hendaklah hatinya itu penuh dengan nasihat dan memberi kebaikan kepada sesama muslim.

  7. Seseorang itu takut dalam urusan pendengarannya, supaya tidak mendengar sesuatu, melainkan sesuatu itu adalah yang haq.

  8. Seseorang itu takut dalam urusan taatnya kepada Allah, jangan sedikit pun terjadi riak, menunjuk-nunjuk dan bermuka-muka (nifaq/munafik), kecuali taat itu hanya semata-mata ikhlas kerana Allah SWT.
(Amin Al Kurdi 1994 : 377 - 378)

Itulah tanda-tanda taubat yang lengkap-sempurna dari seseorang yang diterima oleh Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW : "Tidak ada seorang hamba pun yang telah melakukan dosa, kemudian dia bangun dan berwudhuk lalu solat sunat taubat dua rakaat seraya memohon ampun kepada Allah, maka Allah akan mengampuni dosanya." (HR Abu Daud dan At-Tarmizi)

Begitu pentingnya masalah melaksanakan taubat, yang kemudiannya disusuli lagi dengan akmalush-shalihat (amal-amal soleh), maka sudah tentu sahaja tanda-tanda yang lengkap dan sempurna tersebut diatas itu adalah bagi orang-orang khusus yang bertaraf siddiqin dan wali-wali Allah SWT.

Bagi kita yang berkualiti umum (peringkat manusia biasa) haruslah berjuang bersungguh-sungguh dan berterusan agar kualiti itu meningkat dan akhirnya menjadi lengkap dan sempurna.


CARA MELAKSANAKAN SOLAT TAUBAT
(Rujukan : Shafiqolbu)


1.  NIAT
"u-shal-li sun-na-tat tau-ba-ti rak-'a-tai-ni lil-la-hi ta-'aa-la"

“Sahaja aku mengerjakan solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”


2.  BACAAN SURAH SELEPAS AL-FATIHAH


2.1.  Rakaat pertama : Al-Kafirun


2.2.  Rakaat kedua : Al-Ikhlas


3.  BACAAN TASBIH

DALAM SUJUD TERAKHIR PADA RAKAAT KEDUA selepas selesai membaca tasbih biasa : baca sebanyak 40 KALI :

“laa-i-la-ha il-la an-ta sub-haa-na-ka in-ni kun-tu mi-naz-zhaa li-min.”

“Tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau Ya Allah, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.”


4.  ISTIGHFAR

SELEPAS MEMBERI SALAM, banyakkan beristighfar :

4.1.  ISTIGHFAR BIASA sebanyak 10 atau 100 KALI

“as-tagh-fi-rul-laa-hal ‘a-zim al-la-zi laa i-laa-ha il-laa hu-wal hai-yul qai-yum wa-a-tuu-bu i-laih.”

“Aku memohon keampunan Allah yang Maha Besar, tiada Tuhan melainkan Allah, Dialah yang Maha Hidup, Maha berdiri sendiri dan aku bertaubat kepadaNya.”


4.2.  ISTIGHFAR TAUHID sebanyak 10 atau 100 KALI


“as-tagh-fi-rul-laa-hal ‘a-zim al-la-zii laa i-la-ha il-laa hu-wal hai-yul qai-yuum wa-a-tuu-bu i-laih. tau-ba-ta ‘ab-di zhaa-li-mi laa yam-li-ku li-naf-si-hi dhar-raa, wa-laa naf-‘an wa-laa mau-tan wa-laa ha-yaa-tan wa-laa nu-syuu-raa.”

“Aku memohon ampun kepada Allah yang Maha Agung yang tiada Tuhan melainkan Dia, Yang Maha Hidup Lagi Maha Mengurus! Aku bertaubat kepada-Nya selaku taubatnya seorang hamba yang banyak dosa yang tiada menguasai akan dirinya dan tidak mampu membuat, menolak mudharat dan manfaat serta tidak dapat menguasai kematian, hidup dan kebangkitan.”


4.3.  PENGHULU ISTIGHFAR sebanyak 3 KALI

“Al-laa-hum-ma an-ta rab-bi  laa i-la-ha il-laa an-ta kha-laq-ta-ni wa-a-naa ‘ah-du-ka wa-a-naa ‘a-laa ‘ah-di-ka wa-wa’-di-ka mas-ta-tha′-tu a-‘uu-zu-bi-ka min syar-ri-maa 'sha-na’-tu, a-buu-'u la-ka bi-ni’-ma-ti-ka ‘a-lai-ya wa-a-bu-'u bi-zan-bi fagh-fir-li fa-in-na-hu laa yagh-fi-ruz zu-nuu-ba il-laa an-ta.”

“Ya, Allah Engkaulah Tuhanku, Tidak ada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang menjadikan aku. Sedang aku adalah hamba-Mu dan aku di dalam genggaman-Mu dan di dalam perjanjian setia ( beriman dan taat ) kepada-Mu sekuat mampuku. Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang telah aku lakukan. Aku mengakui atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepada ku dan aku mengaku segala dosaku. Maka ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni segala dosa kecuali Engkau. ”


5.  DOA TAUBAT

Baca doa yang biasa dibaca bertujuan untuk bertaubat dan memohon keampunan dari Allah SWT

Atau doa taubat dibawah ini :



"Daku memohon ampun kepada Allah, Daku mohon ampun kepada Allah, Daku mohon ampun kepada Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia Yang Maha Hidup Lagi Maha Mengurus! Daku bertaubat kepada-Nya selaku taubatnya seorang hamba yang banyak dosa yang tidak berdaya untuk menolak mudharat atau berbuat manfaat dan tidak mampu mematikan atau menghidupkan mahupun membangkitkan (di Padang Mahsyar kelak). Daku mohon perlindungan-Mu daripada dosa, kemalasan, dugaan kubur dan seksanya. Daku mohon perlindungan-Mu daripada segala kesalahan dan hukuman. Ya Allah! Bersihkanlah diriku daripada dosa-dosa sebagaimana kain putih dibersihkan daripada kekotoran. Ya Allah! Sesungguhnya daku bertaubat kepada-Mu di atas segala dosaku, dan daku berjanji tidak akan mengulanginya. Ya Allah! Pengampunan-Mu adalah lebih luas daripada dosa-dosaku dan pengampunan-Mu terhadapku adalah lebih tertunai daripada amalan baikku. Ya Allah! Sesungguhnya daku telah banyak sekali menganiaya diriku sendiri, tiada yang dapat mengampuni dosaku itu kecuali Dikau; Maka berikanlah daku keampunan-Mu, kasihanilah daku. Ya Allah, Ya Tuhanku! Terimalah taubatku, suci bersihkanlah segala dosaku dan kabulkanlah permohonanku. Sesungguhnya Dikau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang!"



SOLAT TAUBAT (CARA RINGKAS)
(saya kongsikan apa yang diajarkan oleh guru saya)


Kaedah ini biasanya dilakukan sebelum kita melakukan solat lima waktu setiap hari.

Tujuannya adalah untuk memohon keampunan kepada Allah SWT semoga kita sentiasa berada didalam keampunanNya.

Cara melaksanakannya adalah sama seperti didalam perkara 1 dan 2 diatas.

Tidak ada bacaan tasbih, istighfar dan doa taubat. Selepas salam, terus bangun untuk menunaikan solat lima waktu.