Khamis, 31 Disember 2015

MARI KITA WUJUDKAN KELUARGA BAHAGIA DUNIA DAN AKHIRAT




Bagaimana pandangan Islam dalam membentuk keluarga bahagia?


Tujuan Keluarga


Pembinaan keluarga dimulai dari tujuan pernikahan, iaitu ketenangan dan kebahagiaan.
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”
(QS. Ar-Rum, 30:21)

Dengan mawaddah, iaitu kasih sayang untuk memenuhi syahwat, suami isteri akan melahirkan dan mengembangkan zuriat keturunan manusia. Selanjutnya timbul rahmah, iaitu rasa kasih sayang murni yang tumbuh dari jiwa yang paling dalam, sehingga suami isteri merasakan kebahagiaan yang tidak bertepi dan ketenangan yang tidak berbatas, dan mereka ingin mengisi hari-hari dengan beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Suami isteri gemar bermusyawarah kerana saling menghormati, memahami keperluan dan kehendak masing-masing, dan mencari penyelesaian tanpa mengorbankan salah satunya. Amanah pernikahan adalah membentuk peribadi yang baik agar dapat membina keluarga yang baik. Amanah ini akan mendidik suami isteri lebih bertaqwa.

Doa pernikahan : baarakallaahu laka (semoga diberi keberkatan Allah dalam suasana bahagia),  wa baaraka ’alaika (semoga diberi keberkatan Allah dalam keadaan susah [misalnya ketika sakit diliputi keberkahan Allah berupa kesabaran dan kesembuhan], wajama’a bainakuma fii khair  (semoga Allah mempersatukan dalam kebaikan).


Kunci Keluarga Bahagia


Suami isteri harus memberikan perhatian yang tinggi terhadap keluarga, agar mampu membawa kejayaan dunia dan akhirat kepada semua anggota keluarganya. Keluarga muslim berorientasi ukhrawi, kerana memiliki matlamat meraih syurga dan redha Allah meskipun dalam musibah. Sehingga erti bahagia bagi keluarga muslim adalah dimana mereka berusaha bersama dalam rangka menggapai redha Allah SWT.

Kebahagiaan keluarga tidak diukur dari segi material, tapi sejauh mana ketaatan keluarga kepada Allah. Kehidupan yang mementingkan kebendaan, hiburan dan kebebasan sosial tanpa terikat batasan syariah dalam berumah tangga pasti akan menimbulkan masalah dalam rumah tangga. Tetapi bukan bermakna keluarga muslim tidak perlu memiliki prasarana fizik yang baik. Diriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda : “Termasuk di antara kebahagiaan seseorang adalah memiliki rumah yang baik, kenderaan yang baik, dan isteri yang baik atau solehah”.

Setiap anggota keluarga mengetahui cinta sejati. Cinta tertinggi setiap mukmin adalah kepada Allah, Rasul dan jihad dijalanNya. Setelah itu, barulah cinta kepada ibubapa, suami, isteri, anak, saudara seiman seagama dan lain-lain. Firman Allah :

“Katakanlah: "jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya". Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.”
(QS. At-Taubah, 9:24)

Kesolehan dan dekatnya seseorang kepada Allah SWT akan mempengaruhi besarnya cinta suami isteri. Jika Allah telah mencintai kita, maka kita akan dicintai oleh segenap makhluk dengan izinNya. Kadar cinta suami isteri bergantung kepada nilai ibadah dan keimanan pasangannya. Cinta yang tidak didirikan diatas dasar mahabatullah, hanya akan menjerumuskan kita kedasar jurang kelalaian dan kehinaan.

Rasul SAW bersabda : “Sesungguhnya Allah memiliki hak atas dirimu yang harus engkau tunaikan, dirimu memiliki hak yang harus engkau tunaikan, dan keluargamu memiliki hak atas dirimu yang harus engkau tunaikan. Maka tunaikanlah hak masing-masing dari semua itu.” (HR. Bukhari).


Tips Keluarga Bahagia


Jadikan rumah tangga sebagai markas pengkaderan generasi akan datang. Suami menghidupkan semangat memahami agama, sehingga isteri-anak semakin cinta kepada agama, Allah dan Rasul-Nya. Cinta inilah yang akan menghidupkan cahaya hati anggota keluarga, sehingga perbuatannya sesuai dengan syariat Allah SWT.

Saling memberikan nasihat dalam kebenaran dan kesabaran, pujian, perhatian, do’a, dan hadiah. Tanamkan sikap percaya diri yang tumbuh dari iman kepada Allah, kasih sayang, kemesraan dan saling menghormati antara anggota keluarga dalam suasana tauhid. Orang tua menjadi pendengar yang bijak dari curahan hati anak-anak. Orang tua bersikap terbuka dalam menerima kritikan anak.

Berkomunikasilah antara anggota keluarga dengan lembut dan mengutamakan musyawarah dalam amar makruf nahi munkar. Komunikasi boleh berbentuk lisan atau bukan lisan (tingkah laku, mimik muka, tulisan, gerakan anggota badan dan penampilan anggota keluarga). Komunikasi dalam keluarga akan sentiasa terpelihara selama komunikasi dengan Allah tetap terjaga.

Ucapkanlah salam setiap kali keluar dan masuk rumah. Berkatalah dengan ucapan yang baik, kerana akan menjadi teladan bagi anak. Hindari pertengkaran antara suami isteri dihadapan anak-anak, kerana boleh merosak jiwa mereka.

Berlaku adillah dalam melayani anak-anak supaya terhindar perasaan dengki, iri hati dan dendam. Anak-anak yang lebih kecil menghormati adik beradik yang lebih tua darinya. Abang dan kakak harus menolong adik. Tanamkan sikap ini pada anak, sehingga tidak ada permusuhan dalam keluarga dan mereka saling menyayangi.

Berikan teladan kepada anak, bukan celaan dan kekerasan. Berikan sikap terbaik, kerana bagaimana sikap kita terhadap anak, begitu pulalah mereka akan bersikap kepada kita.

Wahai isteri, berterima kasihlah atas kebaikan suami, dengan senyuman manis, atau kata-kata cinta, atau maafkan kesalahan dan kekurangannya.

Rasulullah  SAW bersabda, “Allah tidak akan melihat kepada isteri yang tidak tahu bersyukur kepada suaminya dan ia tidak merasa cukup darinya”.

Nabi SAW juga bersabda: “Wahai sekalian wanita bersedekahlah kerana aku melihat majoriti penduduk neraka adalah kalian." Maka mereka berkata: “Ya Rasulullah, kenapa demikian?” Beliau menjawab: “Kerana kalian banyak melaknat dan mengkufuri kebaikan suami”.

Pergaulilah keluarga suami dan kerabat-kerabatnya dengan baik. Simpanlah rahasia keluarga dan tutupilah kekurangan (aib) suaminya. Bersimpatilah terhadap dukacita dan kesedihan suaminya.

Bersikaplah qana’ah, redha dengan apa yang diberikan suami untuknya, baik sedikit atau pun banyak. Ia tidak menuntut di luar kesanggupan suaminya atau meminta sesuatu yang tidak perlu.

Didiklah anggota keluarga hidup sederhana, sehingga tidak boros dalam makanan, minuman, pakaian, peralatan rumah tangga dan sebagainya. Firman Allah SWT :

“..... makan dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan”
(QS. Al-A’raf, 7:31)

Kenali dan fahami suami, sehingga tahu apa yang disukai suami dan penuhilah, juga tahu apa yang dibenci suami dan jauhilah. Dengan syarat tidak dalam perkara maksiat kepada Allah, kerana tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam bermaksiat kepada Al Khaliq.


Keluarga Pejuang Islam


Suami isteri menyedari bahawa rumah tangga muslim adalah salah satu agenda gerakan Islam. Kehidupan rumah tangga dengan seluruh permasalannya tidak boleh menghentikan semangat membela Islam. Suami isteri harus saling menguatkan, saling mengingatkan, saling membantu menyalakan api perjuangan. Isteri memberi dorongan agar suami semakin berada atau sentiasa digaris hadapan barisan pejuang. Tempalah seluruh anggota keluarga menjadi para pejuang Islam. Keluarga yang bahagia adalah keluarga penegak agama Allah SWT yang senantiasa berdoa :
"Dan orang-orang yang berkata: "Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa."
(QS. Al-Furqan, 25:74)




Selasa, 29 Disember 2015

TIP YANG DAPAT MEMBANTU KITA RAJIN SOLAT 5 WAKTU



Solat 5 waktu merupakan salah satu kewajipan umat Islam. Sebagai penganut agama Islam, kita sudah tentu tahu hal tersebut. Sayangnya, banyak sekali godaan dan halangan sehingga kita selalu menjadi malas untuk menunaikannya. Akibatnya, kita sering meninggalkan solat lima waktu.

Kita tentu ingin keluar dari masalah tersebut. Kita ingin rajin melaksanakan solat lima waktu. Kita ingin solat 5 waktu merupakan sebahagian dari aktiviti harian kita. Malangnya, keinginan tersebut hanya sekadar keinginan belaka. Kita masih juga meninggalkan solat 5 waktu. Hairan, bukan?

Harap kita janganlah menyerah kalah. Kita boleh menjadi rajin melaksanakan solat 5 waktu dengan mencuba guna-pakai 10 tip berguna seperti dibawah ini.


1.  Mengapa solat itu diwajibkan

Fahamilah mengapa kita wajib melaksanakan solat 5 waktu. Jika kita terlupa, ingatlah, solat 5 waktu merupakan ibadah yang pertama sekali dihisab pada Yaumul Hisab (Hari Perhitungan), menjadi tiang agama, kunci syurga, menghapuskan dosa, mengelak dari seksa kubur, dan berdosa besar jika ditinggalkan.

2.  Manfaat solat

Fahami juga manfaat yang akan kita perolehi dengan melaksanakan solat lima waktu, manfaat dari segi psikologi dan segi kesihatan.

Secara psikologi, orang yang rajin solat 5 waktu memiliki hati yang tenteram, selalu ingat kepada Allah SWT, terhindar dari pemikiran keji dan munkar, sabar, dan bersyukur. Dari segi kesihatan pula, mereka antara lain mempunyai wajah yang tenang dan bercahaya, bersemangat, dan tubuh yang sihat.

Sebaliknya, orang yang tidak mengerjakan solat lima waktu akan memiliki fikiran tidak tenteram, stres, dengki, cemas, emosional, dan seumpamanya. Keadaan psikologi seperti ini boleh merosakkan daya tahan tubuh.

3.  Ingat dunia itu sementara

Kita mungkin malas solat 5 waktu kerana sibuk mengejar keduniaan untuk membiaya kehidupan harian. Namun begitu, ingatlah bahawa dunia itu sementara. Semua kita akan mati dan akan kembali kekampung asal kita, iaitu akhirat. Yang akan kita bawa hanyalah amalan selama kita masih hidup, bukan kebendaan dunia seperti kereta, rumah, wang ringgit dan sebagainya.

Dengan mengingat dunia itu sementara, kita akan tersedar bahawa kita harus mempersiapkan diri untuk menuju kehidupan yang kekal. Semoga dengannya, kita akan tergerak untuk menunaikan solat 5 waktu dan solat-solat lainnya yang pengerjaannya tidaklah selama melakukan urusan dunia.

Sebagai contoh, kita hanya perlukan masa lebih-kurang 5 minit untuk menunaikan solat Zohor. Bandingkan dengan menulis artikel atau memasarkan produk yang lamanya mungkin berjam-jam.

4.  Lakukan secara bertahap agar menjadi kebiasaan

Tip pertama sampai ke-3 seharusnya dapat membuat kita rajin melaksanakan solat. Namun, bila ketiga tip tersebut tidak mendatangkan hasil, tiada masalah. Rajin tidaknya seseorang melakukan solat dipengaruhi oleh keimanan dan kebiasaan.

Untuk menjadikan solat itu satu kebiasaan, lakukanlah secara bertahap. Sebagai contoh, hari ini kita melaksanakan solat Maghrib dan Isyak. Hari berikutnya, kita laksanakan pula solat Maghrib, Isyak, dan Zohor. Hari-hari berikutnya tambah lagi jumlah solat yang dilakukan sehingga kita terbiasa melakukan solat lima waktu setiap hari.

Mengapa dilakukan secara bertahap? Kerana itu lebih baik daripada kita tidak menunaikan solat 5 waktu sama sekali dalam sehari. Selain itu, pembentukan kebiasaan memerlukan masa yang lamanya bergantung pada diri masing-masing.

5.  Tandakan solat yang dilakukan

Catit setiap solat waktu yang dilakukan. Kita boleh menggunakan MS Excel,  OpenOffice Calc (aplikasi percuma menyamai fungsi MS Excel) atau cara lain. Jika kita menggunakan MS Excel atau OpenOffice Calc, buatlah seperti contoh dibawah. Tandakan Y jika solat dilakukan, dan X jika sebaliknya.


Tarikh Subuh Zohor Asar Maghrib Isyak Keterangan
1 X Y Y Y Y X = bangun 8 pagi
2
3
… 30/31


Diruang keterangan, isikanlah penyebab kita tidak melakukan sesuatu solat. Sebagai contoh, jika kita ketinggalan solat Subuh, dan sebabnya kita terbangun kesiangan, usahakanlah mengambil langkah untuk memperbaiki atau mengatasinya.

Bagi contoh diatas, langkah yang mungkin diambil adalah tidur lebih awal dan/atau memasang penggera 5 minit sebelum masuk waktu. Apa pun langkahnya, buatlah secara sederhana dan semenarik mungkin sehingga kita mampu menghilangkan penyebab tidak bersolat tersebut.

Cara ini sangat baik terutama dipermulaan membiasakan diri bersolat 5 waktu.

6.  Jangan melambat-lambatkan solat

Usahakan kita tidak menunda-nunda solat. Saat mendengar suara azan, berhentilah melakukan sesuatu dan bersiaplah untuk melaksanakan solat. Jika ditangguh-tangguh, kita mungkin terlupa kerana kesibukan yang tidak ada penghujungnya. Selain itu, tidak ada jaminan kita masih hidup saat menunda-nunda solat tersebut.

Suatu contoh lagi, kita mahu keluar rumah. Jika sebentar lagi akan masuk waktu solat, tunggulah sehingga bersolat terlebih dahulu sebelum kita bertolak pergi.

Contoh lain, jika kita ada pertemuan dengan teman atau rakan bisnes, aturlah pertemuan tersebut sehingga tidak bertembung dengan waktu solat. Berikan alasan pengaturan pertemuan tersebut kepada teman dan rakan bisnes kita, pasti mereka akan mengerti.

7.  Berniat dengan ikhlas

Saat akan melaksanakan solat 5 waktu, berniatlah dengan tulus ikhlas hanya kerana Allah SWT. Jangan berniat atau terlintas dihati kerana ingin mendapatkan perhatian orang yang kita sayang, ingin disayangi mertua, ingin dipuji manusia, ingin terlihat sebagai orang yang warak, dan sebagainya.

8.  Lakukan solat berjemaah

Mengapa harus berjemaah? Seperti sabda Rasulullah SAW, solat berjemaah ganjarannya dua puluh tujuh kali ganda dibandingkan dengan solat bersendirian.

Jika rumah kita berdekatan masjid, tunaikanlah solat lima waktu secara berjemaah dimasjid. Jika tidak memungkinkan kita kemasjid atau surau, ajaklah anak, isteri, suami, atau saudara kita untuk berjemaah bersama di rumah.

9.  Bersahabat dengan orang yang rajin solat

Teman juga boleh membantu kita untuk rajin mengerjakan solat. Kerana itu, bertemanlah dengan mereka yang rajin kemasjid atau surau. Dengan teman-teman seperti itu, kita akan diingatkan, diajak atau mengikut sama secara sukarela melaksanakan solat lima waktu apabila masuk waktunya.

10.  Baca buku-buku atau layari internet tentang Islam

Tips terakhir adalah membiasakan diri membaca buku-buku tentang Islam diwaktu terluang. Sebagai contoh, kita lakukannya sebelum masuk tidur malam. Hal ini lebih baik daripada kita melihat status teman kita di media sosial atau mengkhayal seorang diri. Ini akan menambah kefahaman kita tentang Islam, dan kita mempunyai wawasan berhubung akhirat dan menambahkan cinta kita kepada Allah SWT dan Rasul kita Muhammad Rasulullah SAW.


Solat 5 waktu memang tidak mudah dikerjakan kerana syaitan sentiasa menghalangi umat Islam untuk melaksanakannya. Cubalah sepuluh tips sederhana di atas untuk mengatasi halangan tersebut. Insya Allah kita akan menjadi rajin melaksanakan solat 5 waktu. Jika mungkin dan berkesempatan, bergurulah dengan ulamak atau ustaz dilingkungan rumah kita atau dimana sahaja agar kita mendapat bimbingan dan menjadi lebih rajin lagi.


Isnin, 28 Disember 2015

MARILAH KITA HIBURKAN DIRI KITA SEMASA BERADA DI ALAM KUBUR




Tujuh (7) Nasihat Kubur Kepada Manusia


Aku adalah tempat yang paling gelap diantara yang gelap, maka terangilah aku dengan amalan TAHAJJUD.

Aku adalah tempat yang paling sempit, maka luaskanlah aku dengan menjaga baik SILATURRAHIM.

Aku adalah tempat yang paling sepi, maka meriahkanlah aku dengan memperbanyak membaca AL-QUR’AN.

Aku adalah tempat tinggal binatang-binatang yang menjijikkan, maka racunilah ia dengan amalan SEDEKAH.

Aku yang akan menyepitmu hingga hancur, bebaskanlah dirimu dari sepitan itu dengan menunaikan SOLAT.

Aku adalah tempat untuk merendammu dengan cairan yang teramat menyakitkan, bebaskanlah dirimu dari rendaman itu dengan PUASA.

Aku adalah tempat Munkar & Nakir bertanya, maka persiapkanlah jawapanmu dengan memperbanyak mengucapkan Kalimah “LAA ILAAHA ILLALLAH”.


Sabtu, 26 Disember 2015

ADAKAH BEKALAN KEPERLUAN KITA MEMADAI SEBELUM BERPINDAH KEKEDIAMAN TERAKHIR?




Persiapan Menuju Akhirat

Berikut merupakan bekal untuk menuju alam akhirat. Dengan bekal ini diharapkan perjalanan panjang yang akan dilalui menjadi mudah. Dan semoga Allah SWT memudahkan semua dalam melalui alam barzah, mahsyar, hisab, mizan, dan sirath. Bekal-bekal tersebut diantaranya adalah:

1. Keimanan kepada Allah SWT, malaikat, kitab-kitab, para Rasul-Nya dan hari Akhir serta Qadar baik dan buruk.

2. Menjaga Solat fardhu lima waktu di masjid dengan mengerjakannya secara berjemaah (sebaik-baiknya) pada waktunya, dengan penuh kekhusyukan dan memahami makna-maknanya. Sedangkan bagi wanita, solat dirumah adalah lebih utama.

3. Mengeluarkan Zakat wajib pada waktunya sesuai dengan ukuran dan sifat-sifatnya yang telah disyariatkan.

4. Puasa Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan diterima Allah SWT.

5. Haji yang mabrur, sebab tiada balasan baginya kecuali syurga dan berumrah dibulan Ramadhan yang ganjarannya setara haji bersama Nabi SWT.

6. Mengerjakan hal-hal yang Sunnah, iaitu yang diluar solat lima waktu, zakat, puasa dan haji. Dalam hadis Qudsi, Allah SWT berfirman, ertinya, “Dan sentiasalah hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan hal-hal yang sunnah hingga Aku mencintainya.” (HR. Al-Bukhari dan Ahmad).

7. Segera bertaubat yang sebenarnya dari semua perbuatan maksiat dan mungkar serta bertekad untuk memanfaatkan waktu-waktu yang tersedia dengan memperbanyak istighfar, zikir, dan bermacam jenis ketaatan.

8. Berbuat ikhlas kepada Allah SWT dan meninggalkan riak dalam segala urusan. (QS. Al-Bayyinah: 5)

9. Mencintai Allah SWT dan Rasul-Nya yang hanya boleh terlaksana dengan mengikuti Nabi Muhammad SAW. (QS. Ali ‘Imran: 31).

10. Mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah, taat kerana Allah dan memusuhi kerana Allah. Dan akibatnya dari hal ini adalah mencintai kaum Mukminin sekali pun mereka jauh dan membenci orang-orang kafir sekali pun mereka dekat.

11. Takut kepada Allah SWT Yang Maha Agung, mengamalkan wahyu-Nya, rela hidup berkekurangan serta bersiap diri menyambut hari pemergian (saat kematian). Inilah hakikat taqwa.

12. Bersabar atas bencana yang menimpa, bersyukur disaat mendapat kesenangan, merasa selalu dalam pengawasan Allah SWT dalam setiap keadaan serta berharap mendapatkan kurnia dan pemberian-Nya.

13. Bertawakkal dengan baik kepada Allah SWT. (QS. Al-Ma’idah: 23).

14. Menuntut ilmu yang bermanfaat dan berusaha untuk menyebar dan mengajarkannya. (QS. Al-Mujadilah: 11; QS. Ali ‘Imran: 187).

15. Mengagungkan Al-Qur’an dengan mempelajari dan mengajarkannya, menjaga batasan-batasan dan hukum-hukumnya, mengetahui halal dan haramnya. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW, “Sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar Al-Qur’an dan mengajarkannya.” (HR. Al-Bukhari).

16. Berjihad dijalan Allah, taat dan patuh dijalan-Nya, cekal menghadapi musuh dan tidak lari dari medan peperangan. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW, “Janganlah kamu mengangankan bertemu musuh, mintalah keselamatan kepada Allah; jika kamu bertemu mereka, maka bersabarlah dan ketahuilah bahawa syurga berada di bawah kilatan pedang.” (Muttafaqun ‘alaih).

17. Menjaga lisan dari hal-hal yang diharamkan seperti berdusta, memfitnah, mengumpat, mencaci, melaknat, dan berkata kotor. Nabi SAW bersabda, “Siapa sahaja yang beriman kepada Allah dan hari Akhir, maka hendaklah ia berkata baik atau diam.” (Muttafaqun ‘alaih)

18. Menepati janji, menunaikan amanah, tidak berkhianat dan tipu daya. (QS. Al-Ma’idah: 1; QS. Al-Baqarah: 283).

19. Menjauhi zina, minum arak, membunuh jiwa yang diharamkan Allah SWT kecuali dengan haq, berbuat zalim, memakan harta orang lain secara batil, memakan riba dan memakan sesuatu yang secara syariat bukan miliknya. (QS. Al-A’raf: 33).

20. Warak (menjaga kesucian diri) dalam hal makanan dan minuman serta menghindari sesuatu yang tidak halal darinya. (QS. Al-Maidah: 3).

21. Berbakti kepada kedua orang-tua, menyambung tali silaturrahim, mengunjungi teman-teman, bersabar atas tingkah perbuatan mereka, mengusahakan berbuat baik terhadap orang dekat atau pun jauh. Rasulullah SWT bersabda, “Barangsiapa yang memenuhi hajat saudaranya, nescaya Allah akan memenuhi hajatnya dan barangsiapa yang menghilangkan satu dari kesulitan-kesulitan didunia yang dihadapi seorang mukmin, nescaya Allah akan menghilangkan satu dari kesulitan-kesulitan di hari Kiamat yang dihadapinya.” (Muttafaqun ‘alaih)

22. Menziarah orang sakit, berziarah kubur, mengiringi jenazah, sebab hal itu dapat mengingatkan akhirat dan membuat zuhud dalam kehidupan didunia.

23. Tidak memakai pakaian yang diharamkan seperti sutera, emas, tidak berpakaian melebihi mata kaki bagi laki-laki (Isbal) dan menggunakan bejana-bejana (perkakasan rumah) yang terbuat dari emas dan perak untuk makan dan minum.

24. Berhemah dalam nafkah, menjaga nikmat dan tidak berbuat pembaziran. (QS. Al-Isra’: 26).

25. Tidak dengki, iri, memusuhi, saling membenci dan menjatuhkan kehormatan kaum Muslimin dan Muslimat dengan tanpa haq.

26. Beramar makruf nahi munkar, berdakwah mengajak orang kepada Allah SWT dengan cara hikmah dan Mau’izhoh Hasanah.

27. Berlaku adil terhadap manusia, tolong menolong dalam berbuat kebajikan dan taqwa. (QS. Al-An’am: 152)

28. Berakhlak mulia seperti Tawadhuk (rendah hati), kasih sayang, lemah lembut, malu, halus hati, menahan emosi, dermawan, tidak sombong, angkuh, dan sebagainya.

29. Menjalankan hak anak-anak dan isteri secara penuh dan mengajarkan mereka masalah-masalah agama yang diperlukan.(QS. At-Tahrim: 06).

30. Memberi salam dan membalasnya, mendoakan orang yang bersin, memuliakan tamu dan tetangga, menutupi aib pelaku maksiat semampunya. Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang menutupi (aib) saudaranya sesama muslim, maka Allah akan menutupi (aibnya) pada hari Kiamat.” (Muttafaqun ‘alaih).

31. Zuhud didunia, pendek angan-angan sebelum ajal menjemput.

32. Cemburu (sensitif) terhadap kehormatan, menjauhi dari hal-hal yang diharamkan.

33. Menghindari hal yang sia-sia dan bermain-main serta melakukan perkara-perkara positif.

34. Mencintai shahabat Nabi SAW, berlepas diri dari orang-orang yang membenci atau mencela mereka. Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang mencela para shahabatku, maka atasnya laknat Allah, malaikat dan seluruh manusia.” (HR. Ath-Thabarani, dinilai sahih oleh Syaikh Hasan Al-Albani).

35. Mendamaikan sesama manusia, menangani beza pendapat diantara dua orang yang berselisih pendapat sehingga jurang perselisihan dan perpecahan tidak meluas.

36. Tidak mendatangi (meminta pertolongan) bomoh, ahli nujum, para tukang sihir, para dukun dan sebagainya.

37. Wanita hendaknya patuh terhadap suaminya, menjaganya dalam harta, anak dan ranjangnya. Rasulullah SAW bersabda, “Bila seorang wanita menunaikan solat lima waktu, berpuasa dibulan Ramadhan, menjaga kemaluannya dan mentaati suaminya, maka akan dikatakan kepadanya, “Masuklah ke syurga dari pintu mana sahaja yang kamu kehendaki.!” (HR. Ibnu Hibban, dinilai Shahih oleh Syaikh Al-Albani).

38. Tidak berbuat Bidaah (mengada-adakan sesuatu) didalam agama atau menyeru kepada kebatilan dan kesesatan.

39. Kaum wanita hendaknya tidak menyambung rambutnya dengan rambut lain (menyanggul atau rambut palsu), tidak mentato, mencukur alis (bulu kening), meratakan gigi dengan tujuan hanya untuk mempercantik diri.

40. Tidak memata-matai (menjaga tepi kain) kaum Muslimin dan mengungkap aurat (memalukan)  serta menyakiti mereka.



Buletin Al-Mufarriduun Edisi No. 49, Tahun V, Februari 2013

Sumber: Az-Zâ’ir Al-Akhîr karya Khalid bin Abu Shalih (Abu Shofiyyah)


Jumaat, 25 Disember 2015

PETIKAN DARI FATWA TERAKHIR IMAM AL-GHAZALI


HAI ANAK !
(Fatwa terakhir kepada seorang murid)
Oleh : Imam Ghazali

Manakala yang dicari itu bermutu tinggi dan mulia, akan susah mencapainya, panjang jalannya dan banyak akibatnya (Al-Ghazali)

Pendahuluan

Bismillahir rahmanir rahim

Hai Anak !” yang diterbitkan berupa buku ini adalah salinan dari surat Imam Ghazali kepada seorang murid yang telah lama mendapat pelajaran dan didikan daripadanya. Sungguh pun sebagai murid telah boleh dikatakan cukup ilmu dan hikmah yang diperolehnya selama belajar dibawah pimpinan dan tilikan Imam Ghazali, tetapi tergerak juga hatinya kemudiannya berkirim surat untuk bertanyakan beberapa perkara, yang jawapan dan keterangan Imam Ghazali boleh dijadikannya pakaian hidup dan tumpangan mati yang mengakhiri segala syak-wasangka dan angan-angan yang kadang-kadang meragu didalam hatinya. Maka bolehlah dikatakan bahawa dengan suratnya itu murid tersebut meminta keputusan-kaji atau saripati dari pelajaran dan pendidikan yang sebelum itu telah diterimanya.

Melihat jawab Imam Ghazali dalam suratnya kepada murid yang ikhlas itu, ternyatalah bahawa pertanyaan yang dimintakannya jawabnya itu bukan sembarang tanya, tetapi termasuk perkara sulit dan pelik yang hanya boleh dan dapat diperkajikan oleh ahli haqiqat dan ma'rifat yang besar. Hingga kepada murid yang utama itu pun antara lain-lain Imam Ghazali memberi jawapan :
“Kemudian ketahui pulalah, bahawa sebahagian perkara yang engkau tanyakan kepadaku itu ada yang tak mungkin dijawab dengan tulisan dan perkataan. Jika tingkat hidupmu telah sampai kesana, tahulah engkau apakah dia; jika tidak, maka mengetahuinya termasuk perkara mustahil .......”

Pada bahagian yang lain beliau berkata :
Hai Anak ! Pertanyaanmu yang selebihnya, sebahagian telah tertulis dalam buku-buku karanganku; lihatlah disana ! Dan sebahagian lagi haram hukum menulisnya. Hanya amalkanlah apa yang telah engkau ketahui, supaya terbuka bagimu jalan kepada apa yang belum engkau ketahui !”

Dan penutup surat itu beliau berkata : 
Sekarang fikir sendirilah apa yang ku isyaratkan itu ! Engkau seorang yang berfaham dalam, dan kata yang sepatah itu memadailah bagimu ........”

Sungguh pun demikian, dan biar pun surat ini ditulis oleh Imam Ghazali hanya untuk yang seorang itu, tetapi didalamnya banyak termaktub perkara yang patut menjadi pengetahuan bagi tiap-tiap orang yang ingin membimbing kehidupannya diatas kesucian batin yang tinggi. Mudah-mudahan salinan kedalam bahasa Melayu (Indonesia) ini dapat mendorong sekadarnya memudahkan jalan dan menambah besarnya golongan yang dapat mengambil faedah daripadanya.

Salinan kepada berbagai-bagai bahasa, seperti kedalam bahasa Jerman oleh Von Hammer-Purgstall (1838), dan kedalam bahasa Inggeris oleh Rev. George H. Scherer, Ph.D (1933), menunjukkan bahawa diluar Islam pun tak kurang-kurang golongan yang memperhatikan isi surat Imam Ghazali kepada muridnya itu. Didalam surat itulah orang melihat Imam Ghazali menumpahkan isi dadanya yang dikatakan oleh orang-orang itu “die mystischen Betrachtungen” dari Imam Ghazali, atau “his character in its maturity”. Memang surat itu ditujukannya tidak kepada sembarang orang, tetapi kepada seorang murid yang kecekapan dan kemahirannya dalam pelbagai ilmu, terutama ilmu agama Islam, begitu pun kedudukannya dalam masyarakat, memberi kepercayaan kepada Imam Ghazali, bahawa ia akan pandai dan patut memakaikan jawahir nasihat yang mahal-mahal itu.

Maka orang yang ingin mengenal tasawuf Imam Ghazali dengan sepintas lalu, baik membaca suratnya kepada muridnya ini, kerana sebenarnya sebagai kata Tuan C. Spat didalam bukunya “De Islam en zijin beteekenis voor Nederlansch-Indie”, “Imam inilah yang didalam Islam telah dapat mendudukkan faham sufi itu dengan sebaik-baiknya”.

Riwayat Hidup Imam Ghazali

Nama lengkapnya ialah : Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad Al-Imam, Al-Jalil, Abu Hamid Al-Tusia, Al-Ghazali, yang lebih terkenal dengan gelaran HUJJATUL ISLAM. Beliau dilahirkan di Tusia pada tahun 450 H, dimana pada masa itu adalah masa pertelingkahan faham yang amat sangat diantara beberapa aliran agama Islam, disamping banyaknya bilangan penganut agama Kristian dan umat Islam golongan Syiah.

Mula-mula beliau mempelajari ilmu agama dari seorang guru yang terkenal, iaitu Ahmad bin Muhammad Al-Razkani. Kemudian belajar ilmu pengetahuan umum dari seorang ahli falsafah dan ahli tasawuf bernama Yusuf An-Nassaj.

Kemudian Imam Ghazali pindah kenegeri Nishabur buat menyambung pelajarannya dengan seorang mahaguru bernama Dhiauddin Al-Juwaini, Chanselor Universiti Nizhamiah.

Imam Ghazali adalah seorang mahasiswa yang rajin, dan dalam masa yang singkat saja telah berhasil menguasai ilmu bahasa, ilmu fiqah, ilmu kalam, ilmu mazhab Ta'limiah dalam usaha mencari jalan hakikat. Tentu saja setelah beliau tamat menyelesaikan kuliahnya, Imam Ghazali sudah memiliki keahlian yang luar biasa. Beliau menjadi seorang penganut Ahli Sunnah wal Jama'ah yang handal, seorang ahli fiqih Islam, seorang ahli Hukum dan Undang-Undang Islam, seorang ahli pendidik Islam, yang kemudian diserahkan memimpin Universiti Nizhamiah. Setelah umur beliau meningkat, Imam Ghazali mendalami ilmunya dalam lapangan Tasawuf.

Pada tahun 489 H beliau pergi ke Mekah menunaikan ibadah Haji.

Selama hayatnya Imam Ghazali telah berhasil mengarang sebanyak 70 macam kitab yang bermutu tinggi. Tulisan beliau yang amat terkenal ialah “Ihya Ulumuddin”. Buku Hai Anak ! ini adalah buah tangan beliau yang akhir, sebagai fatwa terakhir kepada kita umat Islam, dan sebagai intipati daripada ajaran-ajaran beliau yang banyak dan sangat bernilai itu.

Akhirnya pada tanggal 14 Jamadil Akhir 505 H, Imam Al-Ghazali menghembuskan nafas yang penghabisan dihadapan saudara kandungnya yang bernama Ahmad Ghazali.


RISALAH AL-GHAZALI

Ketahuilah, Hai Anak ! yang tercinta – moga-moga Allah melanjutkan usiamu dalam taat kepadaNya, dan dipimpinNya engkau kejalan orang-orang yang dicintaiNya : - Bahawasanya nasihat yang bertaburan dikutip orang dari “sumber risalah” Nabi Muhammad SAW. Maka jika telah ada barang sebuah nasihat dari sana yang sampai kepadamu, apakah perlunya bagimu nasihatku lagi? Dan jika belum sampai kepadamu, cubalah katakan kepadaku, hasil apakah yang engkau dapatkan selama ini?

Hai Anak ! Sebahagian dari nasihat Rasulullah SAW kepada umatnya, ialah katanya : “Tanda bahawa Allah berpaling dari seseorang ialah “membuang-buang waktu” kepada barang yang tidak berguna; dan jika seseorang hilang barang satu saat daripada umurnya dalam mengerjakan sesuatu yang tidak ia dijadikan Allah untuk mengerjakannya, patut sekalilah tak putus-putus sesalnya; dan barang siapa yang telah berumur lebih 40 tahun, sedang kebaikannya belum mengalahkan kejahatannya, maka baiklah ia bersedia-sedia untuk masuk neraka”. Rasanya cukuplah bagi ahli ilmu apa yang terkandung dalam nasihat ini.

Hai Anak ! Nasihat itu mudah, yang musykil ialah menerimanya; kerana ia pahit terasa kepada sihamba hawa-nafsu, sebab barang yang terlarang itu sangat disukainya, lebih-lebih lagi dikalangan penuntut “ilmu rasmi” (lawan dari ilmu haqiqat) yang membuang-buang waktu dalam mencari kebesaran diri dan kemegahan duniawi. Ia menyangka bahawa didalam ilmu yang tidak bersari itulah terkandung keselamatan dan kebahagiaannya, dan ia menyangka ia tidak perlu kepada amal, dan inilah kepercayaan ahli-ahli falsafah. Subhanallahil 'azim ! Tak tahu ia bahawa ketika telah ada padanya ilmu, apabila tidak diamalkannya, adalah alasan pemberatkannya lebih kuat, sebagaimana telah dikatakan oleh Rasulullah SAW : “Orang yang berat sekali menanggung seksa dihari kiamat ialah orang berilmu yang tidak diberi Allah mendapat manfaat dari ilmunya”.

Dan diriwayatkan, bahawasanya Al-Junaid-qaddasallahu-sirrahu bersua dalam mimpi seseorang. Maka ditanyakanlah kepadanya : “Apa khabar, hai Abal Qasim?” (gelaran Al-Junaid) Ia pun menjawab : “Telah hilang lenyap ibarat-ibarat itu, tak ada lagi isyarat-isyarat itu, dan tidak ada yang memberi manfaat kepada kita melainkan sedikit rakaat yang kita sembahyangkan ditengah malam itu jua”.

Hai Anak ! Janganlah engkau hidup sampai kemiskinan amal dan kehilangan kemahuan bekerja, dan yakinlah bahawa ilmu semata-mata tidak akan menyelamatkan orang. Bagaimanakah menurut fikiranmu, jika pada suatu tengah padang ada seorang panglima yang gagah berani, dan padanya ada sepuluh pedang Hindi, lengkap pula dengan beberapa senjata lainnya, lalu dihadapkan kepada seekor singa besar yang ganas, dapatkah segala senjata itu melindunginya dari bahaya jika senjata itu tidak diangkat, dipukulkan dan ditikamkannya? Telah terang, bahawa ia tidak akan menolong apa-apa, melainkan jika diangkat, dipukulkan dan ditikamkan jua.

Demikian pulalah, jika pun seseorang telah membaca seratus ribu masalah ilmiah serta dipelajarinya pula, jika tidak diamalkannya tidaklah mendatangkan faedah suatu apa kepadanya. Sebagai bandingan lagi, jika seorang kena demam panas dan sakit kuning yang hanya dapat disembuhkan dengan sakanjabin(*) dan kashkat(**), tidaklah ia akan segar kembali melainkan dengan menggunakan ubat-ubat itu.

(*) Berasal dari kata-kata Parsi “sarka ankabin”, sebangsa minuman yang terkenal , bercampur madu
(**) Sejenis jelai yang telah kering dijemur, kemudian sampai hancur serupa bubur

Dan jika pun seratus tahun engkau duduk membaca menuntut ilmu dan seribu buku engkau himpunkan, tidaklah engkau dapat bersedia menerima rahmat Allah, melainkan dengan amal jua.

"Dan bahawasanya manusia tidak akan memperoleh, melainkan sekadar apa yang diusahakannya".
(Al Quran surah An-Najm, ayat 39)
" ..... sebab itu, maka barangsiapa yang mengharap untuk menemui Tuhannya hendaklah ia melakukan amal kebajikan ....."
(Al Quran surah Al-Kahfi, ayat 110)
" ..... dan tempat tinggal mereka adalah neraka; sebagai balasan dari apa yang mereka usahakan".
(Al Quran surah At-Taubah, ayat 95)
 "Bahawa sesungguhnya orang yang beriman dan mengerjakan amal kebajikan, adalah untuk mereka taman-taman syurga Firdaus tempat bersenang-senang. Kekal mereka didalamnya; tidaklah mereka mengharap pindah lagi daripadanya"
(Al-Quran surah Kahfi, ayat 107-108)
"Dilipat gandakan baginya siksa dihari kiamat, dan kekal ia disana dalam kehinaan. Kecuali orang yang taubat dan beriman dan melakukan amal kebajikan ....."
(Al-Quran surah Al-Furqan, ayat 69-70)


Dan bagaimanakah pendapatmu tentang hadis ini :

"Islam didirikan diatas lima perkara; percaya dan mengaku bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah, dan bahawasanya Muhammad utusan Allah, dan mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat dan puasa bulan Ramadhan dan pergi menunaikan ibadah haji ke Baitullah bagi siapa yang kuasa membuat perjalanan kesana." Dan yang "iman" ialah mengucapkan dengan lidah, mengakui benarnya dengan hati dan mengamalkan dengan anggota badan. Dan keterangan yang mengatakan orang mesti beramal itu amat banyaknya, dan jika pun seseorang hamba sahaya dapat sampai ke syurga dengan limpah kurnia Allah dan kemurahanNya jua, akan tetapi sesudah ia membuat persediaan dengan berlaku taat dan beribadat kepadaNya, kerana rahmat Allah itu dekat kepada orang yang berbuat kebajikan.

Dan walaupun ada dikatakan orang, akan sampai jua ia dengan semata-mata "iman", aku jawab : betul, akan tetapi bilakah sampainya? Dan berapakah banyaknya pendakian yang berbahaya yang mesti dilaluinya baru ia sampai kesana? Permulaan pendakian-pendakian yang banyak itu ialah "pendakian iman".

Dan seperkara lagi, adakah ia terpelihara dari bahaya hilangnya "iman" itu atau tidak. Dan apabila sampai jua, tentulah dengan keadaan yang celaka dan sengsara. Hasan Basri telah berkata : "Dihari kiamat Allah akan berseru kepada hambaNya : "Masuklah ke syurga dengan rahmatKu, wahai hamba-hambaKu, dan bagi-bagilah tentang dia (antara sesamamu) menurut amalan kamu masing-masing!"".

Hai Anak ! Selama engkau tidak beramal, tidaklah engkau akan mendapat pahala. Tersebut dalam hikayat, bahawa seorang lelaki dari Bani Israel telah beribadat kepada Allah tujuh puluh tahun lamanya. Allah menghendakki akan memperlihatkan perkara itu kepada bangsa malaikat, maka diutuskanNyalah seorang Malaikat kepada lelaki itu membawa khabar; tidaklah akan layak dia masuk syurga dengan ibadatnya itu. Maka ketika telah sampai kepadanya khabar demikian, berkatalah dia : "Kami (bangsa manusia) dijadikan Allah untuk beribadat, maka sepatutnyalah (tidak kerana memandang suatu apa) kami beribadat kepadaNya". Maka tatkala Malaikat yang diutuskan itu telah kembali, berkatalah ia : "Ya Tuhanku ! Engkau lebih tahu tentang apa yang dikatakan orang itu". Maka berkatalah Allah : "Apabila ia tidak berpaling daripada beribadat kepada Kami, maka Kami dengan sifat kemurahan Kami tidak akan berpaling daripadanya. Jadi saksilah hai malaikatKu ! bahawasanya Aku telah mengampuni kesalahannya".

Rasulullah SAW telah berkata : "Hisablah dirimu sebelum padamu dilakukan timbangan !"

Dan Saidina Ali r.a. telah berkata : "Barangsiapa yang menyangka, bahawa dengan tidak bersusah-payah pun ia akan sampai, maka dia itu ialah pak angan-angan. Dan barangsiapa yang menyangka, bahawa dengan (semata-mata) menggunakan kecekapan dan kekuatan ia akan sampai, maka ia adalah seorang yang menganggap dirinya tak perlu kepada Allah".

Dan Hasan rahimahullah telah berkata : "Meminta syurga dengan tidak beramal itu adalah satu diantara dosa". Dan katanya : "Alamat (tanda) orang hidup berhaqiqat ialah melepaskan pergantungan kepada amal, bukan meninggalkan amal".

Dan berkata Rasulullah SAW : "Orang yang berfaham dalam, ialah yang menguasai dirinya dan beramal untuk sesudah mati. Dan orang berakal dangkal, ialah yang memperturutkan kehendak hawa-nafsunya dan memperbanyak angan-angan kosong terhadap kemurahan Allah".

Hai Anak ! Berapa banyaknya malam tempatmu berjaga-jaga mengulang-ulangi ilmu, membaca buku, dan engkau haramkan tidur atas dirimu. Aku tak tahu, apa yang mendorongmu berbuat demikian. Jika yang mendorong itu kehendak mencapai harta benda dan kesenangan dunia dan mengejar pangkat darjatnya dan mencari kelebihan atas kawan berlumba, maka malanglah engkau, malang. Dan jika yang menjadi sengajamu hendak menghidupkan syariat Nabi Muhammad SAW dan mensucikan budi pekertimu dan menundukkan nafsu yang tak putus-putusnya mengajak kepada kejahatan itu maka mujurlah engkau, mujur.

Benar sekali kata penyair yang maksudnya :
Biarpun mengantuk menyeksa mata,
Hingga mata pun menjadi buta,
Akan percuma semata-mata,
Jika tak kerana Tuhan semesta.

Biar menangis mengungu-ngungu,
Walau meratap bertalu-talu,
Hanya perbuatan seorang dungu,
Oleh "yang bukan-bukan" (*) berhati pilu.
(*)  Maksudnya : bukan kerana murka Allah atau jauh dari rahmatNya

Hai Anak ! Hiduplah sebagaimana yang engkau sukai (tapi ingat!) bahawasanya engkau akan mati, dan cintailah siapa yang engkau sukai (tapi jangan lupa!) bahawa engkau akan berpisah dengan dia, dan buatlah apa yang engkau kehendakki, (tapi ketahui!) bahawasanya engkau akan menerima balasan yang setimpal dengan dia.

Hai Anak ! Apakah hasil yang engkau peroleh dari memahamkan ilmu kalam, khilaf, tabib, diwan, syair, nujum, 'arud, nahu, dan tasrif, diluar mensia-siakan umur? Demi kebesaran Tuhan yang Berkebesaran, bahawasanya aku melihat didalam Injil, Nabi Isa (atas Nabi kita dan atasnya salawat dan salam) berkata, katanya (*) : "Dari saat mayat diletakkan diatas keranda (tempat pembawa mayat kekubur) sampai dibawa ketepi kubur, Allah dengan KebesaranNya, Dia berkata : "Hai hambaKu ! Telah engkau sucikan pemandangan makhluk (berkenaan dengan dirimu) dalam masa bertahun-tahun, dan tidak engkau sucikan tempat jatuh pandanganKu, sekali pun satu saat". Dan tiap-tiap hari Dia memandang kepada hatimu dan berkata : "Apakah yang engkau buat berhadapan dengan yang lain diluarKu, sedang engkau diliputi dengan kebaikanKu? Apakah engkau pekak, tidak mendengar?""

(*)  Disini sengaja kami tinggalkan naskah cetakan Mesir (yang diterbitkan oleh Muhyiddin Sabri Al-Kurdi) dan kami pakai naskah yang asal (tulisan tangan) yang dibuatkan blok dalam salinan kedalam bahasa Inggeris oleh Rev. George H. Scherer.. Lihatlah "O Youth" folio 94a, 1, 9, The American Press, Beirut, Syria, 1933.

Hai Anak ! Ilmu yang tidak disertakan dengan amal itu namanya gila, dan amal yang tidak disertai ilmu itu akan sia-sia. Dan ketahuilah, bahwa semata-mata ilmu saja tidak akan menjauhkanmu dari maksiat didunia ini, dan tidak akan membawamu kepada taat, dan kelak pun diakhirat tidak akan memeliharakanmu daripada neraka jahannam. Dan apabila diwaktu ini engkau tidak beramal dan tidak engkau sesali (insafi) kelalaianmu dimasa yang lalu, nanti dihari  kiamat engkau akan berkata : "Oh Tuhan! Kembalikan kami kedunia, nescaya kami akan berbuat amal yang saleh". Maka permohonanmu itu akan dijawab : "Hai dungu! Bukankah engkau datang dari sana?"

Hai Anak ! Jadikanlah "kemahuan yang bersungguh-sungguh" itu menjadi mahkota roh, "kekalahan" menjadi belenggu nafsu, dan "mati" menjadi pakaian badan, kerana yang akan menjadi tempat diammu adalah "kubur", dan ahli kubur itu setiap saat menunggu, bilakah engkau akan sampai kepada mereka.

Jagalah, jaga benar-benar, jangan sampai engkau menjumpai mereka dengan tidak berbekal.

Dan Saidina Abu Bakar Siddiq r.a. telah berkata : "Tubuh ini seumpama sangkar burung dan kandang haiwan. Maka hendaklah engkau mempercermin diri masuk bahagian manakah diri engkau. Jika 'engkau' terhitung golongan burung bangsa tinggi, maka ketika engkau mendengar deru tambur (hari kiamat)

"Kembalilah kepada Tuhanmu"
(Al-Quran surah Al-Fajr, ayat 28)

nescayalah engkau terbang tinggi sampai engkau duduk dikemuncak ketinggian syurga, sebagaimana dikatakan Rasulullah SAW tentang Sa'ad bin Ma'az : "Bergerak Arasy Rahman (Tuhan) kerana kematian Sa'ad bin Ma'az". Dan perlindungan Allah kita minta jika 'engkau' terhitung golongan haiwan, sebagaimana difirmankan Allah :

" ..... mereka itu seperti haiwan, bahkan lebih sesat"
(Al-Quran surah Al-A'raf, ayat 179)

maka janganlah engkau merasa sentosa tentang pindahmu dari sudut rumah kejurang neraka itu".

Dan diriwayatkan bahawa Hasan Basri rahimahullah pada suatu hari diberi orang air minum yang sejuk. Setelah dipegangnya cawan berisi air itu, beliau pun jatuh pengsan, tiada sedarkan dirinya lagi, dan cawan itu pun lepaslah dari tangannya. Setelah ia sedar akan dirinya, bertanyalah orang : "Apakah sebabnya maka engkau demikian, wahai Aba Sa'id? (Aba Sa'id adalah gelaran Hasan Basri). Sahutnya : Teringat olehku permohonan kasih isi neraka kepada ahli syurga dengan katanya :

"Tuangkan kiranya kepada kami barang seteguk air atau apa-apa pun yang diberikan Allah yang telah menjadi rezekimu"
(Al-Quran surah Al-A'raf, ayat 50)

Hai Anak ! Jika sekiranya sekadar ilmu itu saja telah memadai (cukup) bagimu, dan tak ada lagi hajatmu kepada amal dibelakang itu, tentulah seruan dari sisi Allah yang berbunyi : "Apakah ada yang bermohon? Apakah ada yang meminta ampun? Dan apakah ada yang taubat" itu akan percuma saja, tidak ada gunanya.

Dan diriwayatkan, bahawa segolongan Sahabat (ridwanullahi alaihim ajma'ain) menyebut-nyebut nama Abdullah ibnu Omar dekat Rasulullah SAW.  Maka berkatalah Nabi : "Orang yang baik sekali ialah kalau ia ada sembahyang ditengah malam". Dan telah berkata Rasulullah SAW kepada seorang diantara sahabatnya : "Hai Anu! Jangan membanyak-banyakkan tidur diwaktu malam. Kerana banyak tidur malam itu membiarkan orang tinggal miskin dihari akhirat".

Hai Anak ! Allah telah berfirman :
"Dan pada sebahagian dari malam hari itu hendaklah engkau bangun untuk sembahyang"
(Al-Quran surah Bani Israil, ayat 79)

Firman itu adalah perintah.

FirmanNya lagi :
"Dan menjelang Subuh mereka memohonkan ampun"
(Al-Quran surah Az-Zariat, ayat 18)

Ayat ini mengandung erti "Syukur".

Dan FirmanNya pula :
" ..... dan orang-orang yang memohonkan ampun diwaktu akan Subuh"
(Al-Quran surah Ali 'Imran, ayat 17)

Ayat ini pula adalah mempunyai erti "Zikir". 

Rasulullah SAW telah berkata : "Ada tiga suara yang disukai Allah, suara ayam jantan berkokok (diwaktu hampir Subuh), suara orang membaca Al-Quran, dan suara orang yang memohonkan ampun diwaktu akan subuh".

Berkata Sofyan Tauhari (rahmatullahi 'alaihi) : "Bahawasanya Allah Tabaraka wa Ta'ala menjadikan angin berhembus diwaktu akan subuh membawa zikir dan istighfar kepada Al-Malikil Jabbar". Dan katanya juga : "Apabila telah tiba permulaan malam maka berserulah penyeru dari bawah 'Arasy : bangunlah dan sembahyang sepuas hati. Kemudian berseru pula penyeru dipertengahan malam : Bangun, bangunlah, hai kaum yang taat! Mereka pun bangunlah dan sembahyang sampai saat hampir subuh. Diwaktu itu berseru pulalah penyeru : Bangun, bangunlah, hai orang-orang yang mengharapkan ampun! Maka bangunlah mereka dan memohon ampun kepada Allah. Dan ketika fajar terbit, berseru pulalah penyeru : Bangun, bangunlah, hai golongan yang hidup lalai! Mereka pun bangunlah dari ketiduran mereka bagaikan mayat dibangkitkan dari kubur".

Dan tepat sekalilah kata-kata penyair yang maksudnya :
Demi Allah, demi Tuhanku
Dusta aku dalam kataku
Mengaku dekat bagai terpaku
Kepada Allah, Penguasaku.

Segala mudah aku rasakan
Taat dan cinta aku ucapkan
Isi maknanya aku tinggalkan
Mulut menyebut, hati mungkirkan.

Diakhir malam yang masih kelam
Diwaktu tenang seisi alam
Aku terbaring diatas tilam
Bagaikan batu dilumpur dalam.

Lain halnya siburung murai
Memekik menangis berderai-derai
Jika mulut dan hati tidak bercerai
Masa kan kalah oleh burung murai?

Hai Anak ! Pati "ilmu" ialah bahawa engkau ketahui sedalam-dalamnya apa ertinya "taat" dan "ibadat". Dan ketahuilah taat dan ibadat itu ialah tunduk kepada Allah dalam segala suruh dan laranganNya dengan perkataan dan perbuatan. Ertinya, segala apa pun yang engkau katakan dan engkau perbuat atau engkau tinggalkan, hendaklah menurut hukum syara'. Maka jika engkau puasa pada hari raya dan hari tasriq, engkau bernama derhaka, atau engkau sembahyang (memakai kain rampasan), biar pun rupanya ibadat jua, engkau berdosa.

Hai Anak ! Patut sekali katamu dan perbuatanmu mengikut ukuran syara', kerana ilmu dan amal yang tidak bergariskan syara' itu suatu kesesatan adanya. Dan patut pula bahawa engkau jangan terpedaya oleh ucapan kaum Sufi yang menyenangkan dan semua yang menggerakkan, kerana menempuh jalan itu hanya dapat dengan jihad melatih diri, mengalahkan pengaruh nafsu dan menundukkan hawa yang pantang kerendahan itu dengan ketajaman pedang-pendidikan, bukan dengan ajakan yang menggerakkan dan kata-kata yang kosong.

Dan ketahui pulalah, bahawa lidah yang lepas dan hati yang tertutup dan penuh dengan kelalaian dan keinginan yang rendah-rendah itu alamat kemalangan besar. Jika nafsu itu tidak engkau kalahkan dengan jihad yang bersungguh-sungguh, maka sekali-kali hatimu tidak akan hidup dengan nur ma'rifat.

Kemudian itu, ketahui pulalah bahawa sebahagian dari perkara yang engkau tanyakan kepadaku itu ada yang tak mungkin dijawab dengan tulisan dan perkataan. Jika tingkat hidupmu telah sampai kesana, tahulah engkau apakah dia, jika tidak, maka mengetahuinya termasuk perkara mustahil, kerana ia adalah barang yang bersangkut dengan perasaan, tak dapat ditunjukkan dengan perkataan. Seperti kemanisan barang yang manis dan kepahitan barang yang pahit tidak akan dapat dikenal, melainkan dengan dicuba lebih dahulu.

Dihikayatkan, bahawa seorang yang telah terkenal suka mengeluh menulis surat kepada sahabatnya, minta diterangkan, betapa besar lazatnya bersetubuh. Lalu sahabatnya menulis membalas suratnya : "Hai sahabat! Selama ini saya anggap engkau hanya seorang pengeluh saja. Sekaranglah baru saya tahu bahawa engkau adalah seorang pengeluh dan dungu pula. Kerana perkara itu perkara rasa; jika engkau rasai tahulah engkau. Jika tidak, maka kenyataannya tidak dapat digambarkan dengan kata dan tulisan".

Hai Anak ! Sebahagian dari pertanyaanmu termasuk bahagian ini. Ada pun yang selebihnya, yang dapat dijawab, telah ku sebutkan didalam "Ihya Ulumuddin" dan lainnya. Dan disini hanya akan ku sebutkan sebahagiannya :

Empat Perkara yang harus ada dalam mencapai keutamaan itu :

  • Pertama : I'tikad yang sahih yang tidak dicampuri dengan bidaah.
  • Kedua : Taubat yang sesungguh-sungguhnya, yang menutup mati jalan kembali kepada maksiat.
  • Ketiga : Meminta rela sekelian lawan, hingga padamu tidak bergantung hak dari seorang jua.
  • Keempat : Mempelajari ilmu syariat sekadar yang dengan dia engkau dapat menjalankan perintah Allah dengan saksama, dan sebahagian dari ilmu akhirat yang dengan dia engkau boleh mengharap lepas dari segala bencana.

Dihikayatkan, bahawa Shibli-rahimahullah telah berkhidmat kepada empat ratus orang guru. Dan ia berkata : "Telah ku baca empat ribu buah hadis, sudah itu ku pilih sebuah saja, dan aku amalkan. Yang selebihnya aku tinggalkan; kerana setelah ku timbang-timbang yakinlah aku, bahawa keselamatan dan kebahagiaanku tersimpan didalam yang sebuah itu, serta ilmu orang dahulu-dahulu, dan orang-orang yang kemudian pun semuanya terkandung didalamnya. Sebab itu memadailah, menurut fikiranku, aku berpegang kepadanya, iaitu kata Rasulullah SAW kepada sebahagian sahabatnya:
"Beramallah untuk duniamu menurut kadar hidupmu padanya, dan beramallah untuk akhiratmu menurut kadar kekalmu didalamnya, dan beramallah kepada Allah menurut kadar hajatmu terhadapNya, dan beramallah berhadapan dengan neraka menurut kadar tahanmu menanggung azabnya."
 Hai Anak ! Bila engkau ketahui isi hadis ini, tidaklah perlu lagi ilmu yang bertimbun-timbun. Dan perhatikanlah sebuah hikayat lagi!

Bahawasanya Hatim Asamm adalah salah seorang dari sahabat Syaqiq Bilkhi (rahmatullahi alaihima). Pada suatu hari bertanyalah Syaqiq kepada Hatim : "Hai Hatim! Telah tiga puluh tahun engkau bersahabat dengan daku, apakah yang telah engkau peroleh selama ini?" Maka menyahutlah Hatim : "Telah aku peroleh delapan ilmu yang berfaedah, dan itu memadailah bagiku, kerana aku mempunyai harapan yang penuh, bahawa keselamatan dan kebahagiaanku tersimpan didalamnya". Berkata Syaqiq : "Apakah itu?" Kata Hatim :

Pertama telah ku pandang makhluk yang banyak ini. Maka ku saksikanlah, bahawa tiap-tiap mereka mempunyai kekasih dan kecintaan tempat hatinya tertambat. Sebahagian dari kekasihnya hanya menemaninya sampai kepada "sakit" yang membawa mati; dan yang sebahagian sampai ketepi kubur. Sudah itu kesemuanya kembali dan meninggalkannya terbaring seorang diri; tak seorang jua pun yang masuk bersama-sama dengan dia kedalam kuburnya. Maka terfikir olehku; kekasih yang paling utama ialah yang menyertai masuk kedalam kubur dan menghiburkannya didalamnya. Yang demikian tak ku dapati selain amal yang soleh. Sebab itu aku ambillah ia menjadi kekasihku, supaya ia kelak menjadi pelita didalam kuburku, menghiburkan dan tidak meninggalkan daku seorang diri.

Kedua ku lihat makhluk ini mengikutkan hawanya dan lekas sekali menurutkan kehendak nafsunya. Maka aku perhatikanlah firman Allah :
"Dan adapun orang yang merasa takut terhadap kedudukan Tuhannya dan ditahannya nafsunya dari keinginan yang rendah-rendah, maka sesungguhnya syurgalah tempat diamnya"
(Al-Quran surah An-Nazi'at, ayat 40-41)

Dan aku yakin betul bahawa Al-Quran itu benar, tak ada mungkirnya. Sebab itu maka segeralah aku melawan nafsuku, dan aku bersedia jihad menentang dia. Tidak pernah ia ku beri kesempatan menurutkan sukanya, sehingga ia menyerah dan tunduk dan taat kepada Allah.

Ketiga, ku lihat tiap-tiap orang membanting tulang mengumpulkan benda dunia, kemudian disimpannya dengan amat cermat dan kikirnya. Maka ku panjangkan fikir tentang firman Allah :

"Apa yang ada padamu itu akan hilang lenyap, dan apa yang ada pada sisi Allah akan kekal selama-lamanya"
(Al-Quran surah An-Nahl, ayat 96)

maka aku keluarkanlah harta simpananku selama ini untuk mencari keredhaan Allah, aku bahagi-bahagikan disisi Allah.

Keempat, ku lihat sebahagian dari makhluk itu menyangka kemuliaan dan ketinggian darjatnya terletak pada "banyak kaum dan keluarga", lalu ia merasa megah dengan demikian; yang sebahagian lagi mengatakan pada "emas perak, intan permata dan anak banyak", maka ia menyombongkan diri dengan dia; dan yang lain menganggap kemuliaan dan ketinggian itu terletak pada "laku zalim, samun-sekah dan menumpahkan darah sesama manusia." Dan ada pula yang mempunyai keyakinan letaknya pada "keborosan, membuang-buang harta dan menbazirkannya." Maka aku dalamkanlah berfikir tentang firman Allah :

"..... bahawasanya yang paling utama kamu disisi Allah, ialah yang lebih taqwa "
(Al-Quran surah Al-Hujurat, ayat 13)

lalu aku pilih "taqwa" itu serta aku berkepercayaan yang tetap, bahawa Al-Quran itu benar dan anggapan mereka itu semuanya batil, tak beralasan.

Kelima, aku lihat manusia hidup cela-mencela dan umpat-mengumpat. Aku saksikan pangkal timbulnya adalah disebabkan oleh kedengkian dalam perkara harta, pengaruh dan kepandaian. Maka ku fikirkanlah dengan saksama firman Allah :

"Kamilah yang mengatur kebahagiaan penghidupan diantara mereka dalam kehidupan dunia"
(Al-Quran surah Az-Zukhruf, ayat 32)

Maka tahulah aku, bahawa pembahagiaan itu dari Allah dizaman azali. Sebab itu tidaklah aku berlaku dengki kepada seorang jua, dan aku terima pembahagiaan daripada Allah.

Keenam, ku lihat manusia yang satu memusuhi yang lain kerana berbagai sebab dan maksud. Maka aku dalamilah firman Allah :

"Bahawasanya syaitan itu musuh bagimu, maka pandanglah ia sebagai musuh"
(Al-Quran surah Fatir, ayat 6)

Maka tahulah aku bahawa tak patut memusuhi seorang jua selain daripada syaitan.

Ketujuh, aku lihat tiap-tiap orang berusaha bersungguh-sungguh dan membanting tenaga melebihi patut mencari makan dan keperluan hidup sampai ia jatuh kepada subhat, terjerumus kepada yang haram, dicemarkannya namanya dan dijatuhkannya darjatnya. Maka lama-lama aku terfikir tentang firman Allah :

"Dan tidak ada suatu haiwan pun dimuka bumi ini, melainkan bergantung kepada Allah rezekinya"
(Al-Quran surah Hud, ayat 6)

Maka tahulah aku bahawa rezeki itu ditangan Allah jua, dan dengan sesungguhnya telah ditanggungNya perkara itu. Maka aku pun bangkitlah menjaga ibadatku kepadaNya, dan aku putuskan tamak harapku kepada yang lain daripadaNya.

Kelapan, ku lihat tiap-tiap orang menyendikan nasibnya kepada suatu barang yang adanya kerana dijadikan (makhluk). Ada yang kepada dunia wang, ada yang kepada harta dan milik, ada yang kepada perusahaan dan pertukangan dan ada pula yang kepada makhluk seperti dia. Maka aku perhatikanlah dengan bersungguh-sungguh akan firman Allah :

"..... dan barangsiapa yang tawakkal kepada Allah, maka memadailah Dia baginya, bahawasanya Allah menyampaikan segala kehendakNya; dan sesungguhnya telah dijadikan Allah bagi segala sesuatu batas yang tentu"
(Al-Quran surah At-Talaq, ayat 3)

Maka tawakkallah aku kepada Allah, kerana Dialah yang mampu menyampaikan segala hajatku, dan Allah pelindung yang utama sesungguhnya.

Setelah mendengar semuanya itu berkatalah Syaqiq : "Moga-moga Allah memberimu taufiq. Bahawasanya aku memperlihatkan Taurat, Injil, Zabur dan Al-Quran. Ku lihat keempat kitab suci itu beredar diatas kelapan perkara ini. Maka barangsiapa yang mengamalkannya, seolah-olah ia telah mengamalkan keempat kitab itu."

Hai Anak ! Dari kedua hikayat ini dapatlah engkau mengambil ibarat, bahawa tidak perlu memperbanyak-banyakkan ilmu. Sekarang ku terangkan pula kepadamu apa-apa yang perlu bagi orang yang hendak menempuh jalan yang haq. Maka ketahuilah bahawa patut benar orang yang hendak menempuh jalan itu mempunyai seorang pembimbing dan pendidik, supaya dibuangnya segala akhlak yang tak baik dengan kepandaiannya mendidik dan ditanamkannya budi-pekerti yang utama. Dan erti mendidik itu adalah sama dengan pekerjaan peladang membuangkan duri dan mencabut rumput yang tumbuh diantara tanam-tanaman, supaya segar hidup tanam-tanaman itu dan subur tumbuhnya. Dan perlu pula bagi orang yang hendak menempuh jalan itu seorang guru yang akan mengajar dan membimbingnya kepada jalan Allah. Kerana bahawasanya Allah telah mengutus seorang Rasul untuk membimbing hambaNya kepada jalan yang lurus. Ketika Rasul SAW itu berpulang ke rahmatullah, ditempatnya ditinggalkannya pengganti (khalifah) yang akan terus membimbing kepada jalan Allah itu.

Ada pun syarat bagi seseorang guru maka ia layak menjadi pengganti Rasulullah SAW itu, ialah bahawa ia sebenar-benarnya alim. Tetapi tidak pulalah tiap-tiap orang yang alim itu layak menempati kedudukan sebagai ganti Rasulullah SAW itu.

Disini aku sebutkan dengan ringkas sebahagian dari tanda-tandanya, supaya jangan tiap-tiap orang, dengan mudah mengaku bahawa ia seorang pembimbing. Ada pun yang boleh tempat mempercayakan diri demikian itu ialah
  • orang yang telah melepaskan dirinya dari kongkongan "cinta kepada dunia" dan "gila pangkat", dan
  • ia mengikut seorang ahli yang sambung-bersambung jalan ikutnya sampai kepada Penghulu Segala Rasul, Nabi Muhammad SAW.
  • Dan ia berhati-hati pula mendidik dirinya sendiri, dengan membiasakan sedikit makan, sedikit berkata-kata dan sedikit tidur, serta membanyakkan sembahyang, sedekah dan puasa.
  • Lagi pula, dalam kehidupannya mengikut seorang yang alim itu, dijadikannya segala akhlak yang utama - sebagai sabar, sembahyang, syukur, tawakkal, yakin, tak keluh-kesah (rela dengan apa yang ada), berhati tenang, berdada lapang, rendah hati, tahu diri, berlaku benar, bermalu, menepati janji, tetap hati, tenang tidak tergesa-gesa dan sebagainya - menjadi pakaian hidupnya.
Orang yang demikianlah yang boleh dikatakan SATU daripada NUR MUHAMMAD SAW yang patut dijadikan ikutan. Tetapi jarang sekali kita menemui adanya orang yang begitu, lebih susah dari kibrit-merah (*).

(*)   Menurut tafsir dari Khadimi, kibrit-merah itu adalah semacam batu yang bercahaya diwaktu malam. Diceritakan, bahawa Nabi Sulaiman a.s. meletakkan sebutir batu itu pada lingkungan sebuah kuil, dan ia mengeluarkan cahaya sampai satu batu jauhnya, sehingga boleh perempuan bertenun dibawah cahayanya (sebagai ibarat, kerana amat susah mencarinya). Lihat nota XIX:4 halaman 67 pada "O Youth".

Dan barangsiapa yang bernasib baik dan bertemu ia dengan seorang guru yang sifatnya sebagai aku sebutkan itu serta sang guru itu suka pula kepadanya, patutlah dihormatinya zahir dan batin.

Ada pun yang aku maksudkan dengan hormat pada zahir, ialah bahawa guru itu tidak dilawannya bertengkar dan tidak diajaknya berlawan fikiran tentang berbagai masalah, biar pun ia mengetahui kesalahan guru itu tentang sesuatu perkara (*). Dan lagi janganlah ia mengembangkan sejadahnya dihadapan guru itu melainkan ketika hendak sembahyang saja. Apabila sembahyang telah selesai, hendaklah diangkatnya kembali, dan janganlah ia membanyak-banyakkan sembahyang sunat dihadapannya. Dan apa-apa yang disuruh kerjakan guru itu, hendaklah dikerjakannya menurut kekuatan dan kecekapannya.

(*) Kerana sikap demikian boleh menghilangkan penghargaan terhadap guru, dan kesudahannya mensia-siakan tuntunannya yang sangat dihajatkan itu.

Dan ada pun yang aku maksudkan dengan hormat pada batin, ialah bahawa segala apa yang didengar, dan diterimanya dari guru itu, baik perkataan mau pun perbuatan tidak diengkarinya pada batin, supaya dirinya jangan bernoda dengan nifaq (*). Jika tidak dapat ia berbuat demikian, hendaklah diputuskannya dahulu hubungan pergaulannya dengan guru itu, hingga batinnya dapat sejalan dengan zahirnya. Dan lagi hendaklah ia menjauhi pergaulan dengan ahli kejahatan, supaya dapat ia mengurangkan pengaruh syaitan, bangsa jin dan bangsa manusia, dari ruangan hatinya, sehingga ia suci dari kotoran kejahatan syaitan. Dan bagaimana pun juga, hendaklah ia memilih kemiskinan atas kekayaan.

(*)   Nifaq, adalah budi pekerti orang munafiq; pepat diluar, runcing didalam.


Kemudian ketahuilah bahawa tasawuf itu bercabang dua; istiqamah dan menjaga kedudukan diri berhadapan dengan makhluk. Maka barangsiapa yang berlaku istiqamah dan menjaga budinya berhadapan dengan orang banyak serta bergaul dengan dada yang lapang, maka ia seorang yang bertasawuf (Sufi). Yang dikatakan "istiqamah" ialah menebus hak diri untuk diri sendiri, dan "budi pekerti yang baik" berhadapan dengan orang banyak, ialah tidak memaksa orang banyak menurut kehendak hati sendiri, melainkan memaksa diri mengikut kehendak orang banyak, selama mereka tidak menjauhi hukum syara'.

Engkau bertanya kepadaku tentang Ubudiyah. Ubudiyah (menghambakan diri kepada Allah) itu tiga perkara.

Pertama, menjaga perintah syara' dengan bersungguh-sungguh.

Kedua, rela (tak keluh-kesah) berhadapan dengan qadha dan qadar, aturan dan pembahagian yang ditentukan Allah.

Dan ketiga, menyampingkan pilihan hati dalam menuntut keredhaan Allah.

Dan engkau bertanya pula tentang "tawakkal". Tawakkal itu ialah bahawa engkau perteguh kepercayaan terhadap Allah tentang barang apa yang dijanjikanNya : apa yang ditakdirkan menjadi bahagianmu, nescaya sampai kepadamu dengan tidak boleh tidak, biar pun sekelian yang dalam alam ini berusaha sekuat-kuatnya memalingkannya daripadamu, sekali-kali tidaklah ia akan sampai kepadamu, meski pun seluruh alam memberi pertolongan kepadamu.

Juga engkau tanyakan "ikhlas". Ikhlas ialah segala amalanmu adalah kerana Allah semata-mata; hatimu tidak menjadi senang kerana pujian orang dan engkau tidak merasa tergoda kerana celaan mereka.

Dan ketahuilah, bahawa "riak" (lawan dari ikhlas) itu timbul kerana membesarkan sesuatu makhluk. Dan ubatnya tak lain melainkan bahawa engkau pandang sekelian makhluk itu tunduk dibawah kekuasaan Allah, dan engkau anggap semuanya itu sebagai makhluk tak bernyawa, supaya sama-sama tak dapat mendatangkan kesenangan atau menimbulkan bencana, supaya dapatlah lepas dari berlaku "riak" kepadanya. Dan selama engkau masih menyangka ia mempunyai kudrat dan iradat yang meninggi diatasmu, maka tiadalah "riak" itu akan terjatuh daripadamu.

Hai Anak ! Pertanyaanmu yang selebihnya, sebahagian telah tertulis didalam buku-buku karanganku, lihatlah disana. Dan yang sebahagian lagi haram hukum menulisnya. Hanya amalkanlah apa yang telah engkau ketahui, supaya terbuka bagimu jalan kepada apa yang belum engkau ketahui !

Hai Anak ! Sesudah ini janganlah engkau bertanya lagi kepadaku tentang barang sesuatu yang musykil kepadamu, melainkan dengan lisan kebatinan. Firman Allah :
"Dan kalau sekiranya mereka sabar menunggu sampai engkau keluar kepada mereka, 
sesungguhnya adalah lebih baik bagi mereka"
(Al-Quran surah Al-Hujurat, ayat 5)

Dan terimalah nasihat Nabi Khaidir a.s. ketika dia berkata :
"........ maka janganlah engkau bertanya kepadaku tentang suatu apa pun, sampai aku sendiri menerangkannya kepadamu"
(Al-Quran surah Al-Kahfi, ayat 70)

Dan janganlah tergesa-gesa hingga engkau sampai atau ia terbuka bagimu dan engkau dapat melihat, sebagaimana yang difirmankan Allah :
"........ nanti akan Aku perlihatkan kepadamu ayat-ayatKu, maka janganlah kamu minta tergesa-gesa kepadaKu"
(Al-Quran surah Al-Anbiya, ayat 37)

Maka janganlah engkau bertanya kepadaku sebelum waktunya, dan yakinlah bahawa engkau tak akan sampai melainkan dengan berjalan jua, kerana firman Allah :
"Adakah mereka tidak membuat perjalanan dimuka bumi, supaya mereka dapat melihat  ......?"
(Al-Quran surah Al-Mu'min, ayat 21)

Hai Anak ! Demi Allah, jika engkau berjalan mengembara, nescaya akan engkau lihatlah kejadian dan barang-barang pada beberapa tempat. Dan korbankanlah dirimu, kerana yang penting sekali dalam perkara ini ialah pengorbanan diri sebagaimana yang telah dikatakan oleh Zun-Nun Al-Misri (Abul Faidh Tauban ibn Ibrahim) rahimahullah kepada seorang muridnya : "Jika engkau berani mengorbankan diri, marilah ! Jika tidak, janganlah engkau membuang tenaga dengan kebiasaan cara tasawuf yang kosong".

Hai Anak ! Aku hendak memberi kamu nasihat dengan lapan perkara, engkau terimalah ia, supaya ilmu kamu jangan menjadi lawan kepadamu kelak dihari kiamat. Empat yang engkau amalkan, empat pula yang akan engkau jauhi.

Ada pun yang akan engkau jauhi, pertama : sedapat-dapatnya janganlah engkau lawan bertengkar seorang jua tentang barang suatu masalah pun, kerana perbuatan begitu mengandungi banyak bencana; sebab itu maka dosanya lebih besar daripada gunanya, kerana ia adalah sumber dari segala rupa perangai yang tercela seperti riak, dengki, takbur, dendam, permusuhan, lebih melebihi dan sebagainya.

Kalau sekiranya diantara kamu dan seseorang atau suatu golongan timbul suatu masalah, dan maksudmu tidak lain melainkan hendak melahirkan yang haq supaya jangan tersia-sia, tentu tak ada halangannya. Tetapi maksud yang demikian ada dua tandanya. Pertama bahawa tak berbeza pada pandanganmu tentang terbukanya yang haq itu, baik dari mulutmu atau dari mulut orang lain. Kedua, bahawa engkau lebih suka mempersoalkan masalah itu ditempat tertutup daripada ditempat orang banyak.

Dan dengarkanlah, aku akan menyebutkan disini sebuah lagi barang yang berguna bagimu. Ketahuilah, bahawa bertanya tentang sesuatu yang musykil itu, [umpama] menceritakan sakit hati kepada tabib. Dan menjawab itu, suatu usaha untuk menolak penyakit itu. Dan ketahui pulalah, bahawa alim ulamak itu umpama tabib. Orang alim yang tanggung (kurang pengetahuan dan kemahiran), takkan pandai melakukan pengubatan, dan orang yang sempurna alim tidak pula akan mengubat sembarangan orang saja; yang diubatnya hanyalah orang yang ada harapannya akan suka menerima pengubatan dan mungkin sembuh. Dan [andainya] apabila penyakit itu penyakit lama atau mandul yang tak mungkin diubat lagi, maka (tandanya) kemahiran seorang tabib dalam kejadian yang demikian, ialah katanya : penyakit ini tak dapat diubat lagi. Maka [sekiranya] ia pun bekerja untuk mengubatinya, kerana yang demikian itu membuang masa dengan sia-sia sahaja.

Kemudian ketahui pulalah, bahawasanya penyakit jahil itu empat macam. Diantaranya hanya satu yang dapat diubat, yang selebihnya tidak.

Ada pun yang tidak dapat diubat itu, pertama : orang yang pertanyaan dan bantahannya timbul dari perasaan dengki dan benci hati. Akan orang yang demikian halnya, biar pun engkau beri jawapan yang sebaik-baiknya, semanis-manis dan senyata-nyatanya, tidak ada yang akan bertambah padanya melainkan kebencian hati jua, rasa bermusuh dan dengki jua. Maka jalan yang sebaik-baiknya ialah bahawa engkau tidak membuang-buang masa untuk menjawab pertanyaannya. Sebab telah menjadi pepatah :

Segala kata ada jawabnya
Setiap gayung ada sambutnya
Sekelian sakit ada ubatnya
Asal tak "hasad" pokok pangkalnya

Maka telah patutlah bahawa engkau berpaling daripadanya, dan engkau tinggalkan ia dalam "sakitnya". Tuhan pun telah berfirman :
"Maka menyisihlah dari orang yang berpaling dari mengingati Kami dan tidak ada yang dikehendakinya melainkan kehidupan duniawi"
(Al-Quran surah An-Najm, ayat 29)

Dengan segala apa yang dikatakan dan dibuatnya, orang yang dengki itu hanya menyalakan api pembakar ilmunya. Perasaan kedengkian itu memakan segala kebajikan sebagaimana api membakar kayu bakar.

Macam kedua, yang penyakitnya berasal dari dungu dibuat-buat. Penyakit begini pun tidak mungkin diubat, sebagaimana dikatakan oleh Nabi Isa a.s. : "Bahawasanya aku tak merasa lemah menghidupkan orang yang telah mati, tetapi aku merasa lemah (tidak berdaya) mengubati orang yang dungu dibuat-buat". Iaitu orang yang tak seberapa lama menuntut ilmu, dan dipelajarinya sebahagian kecil dari ilmu 'aqli dan ilmu syari'e, lalu ia mengemukakan soal dan bantahan kerana dungunya terhadap alim besar yang telah tua didalam ilmu 'aqli dan ilmu syari'e itu. Sidungu ini tidak hendak mengetahui, dan disangkanya apa yang musykil kepadanya, musykil juga kepada alim besar itu. Maka apabila ia tidak mengenal batas ini, nyatalah pertanyaannya itu timbul dari kedunguan dibuat-buat, bukan dungu semata-mata. Sebab itu patut benarlah orang tidak membuang-buang masa menjawab tanyanya.

Macam yang ketiga, orang yang mencari pimpinan, dan tiap-tiap apa yang dapat difahamkannya dari perkataan orang besar-besar itu, disimpulkannya kepada kesuntukan akalnya. Dia bertanya untuk mengharapkan faedah, tetapi dia pandir (bodoh), fikirannya tidak terbuka kepada hakikat keterangan. Maka tak patut juga berpenat-penat menjawab pertanyaannya, sebagaimana dikatakan oleh Rasulullah SAW : "Kami golongan nabi-nabi - diperintahkan Allah bertutur kepada manusia menurut ukuran akalnya (*)".

(*); Rupanya yang dimaksudkan dengan macam yang ketiga ini adalah golongan sibedebah yang beku otaknya, yang buta hatinya.

Dan ada pun penyakit batin yang dapat diubat itu, ialah penyakit orang yang haus kepada bimbingan, dan dia ada berakal dan berfaham, tidak dipengaruhi oleh sifat hasad dan kebencian, tidak gila oleh pangkat, harta dan keinginan yang bukan-bukan. Maksudnya hanyalah mencari jalan yang lurus, soal dan bantahannya tidak timbul kerana hasad, niat (tidak baik) dan menjatuhkan (maruah) atau maksud menguji. Penyakit batin yang begini dapat diubat, maka bolehlah engkau bersungguh-sungguh menjawab pertanyaannya, bahkan wajib engkau berbuat demikian.

Yang kedua - kembali kepada pokok kata tentang perkara-perkara yang perlu engkau tinggalkan - ialah bahawa engkau jaga diri, dan engkau jauhi pangkat menjadi tukang nasihat memperingatkan orang banyak, kerana ia mengandungi banyak bencana, kecuali jika lebih dahulu engkau beramal menurut yang engkau ucapkan, kemudian barulah engkau memberi "orang banyak" pengajaran. Dan fikirkanlah dalam-dalam, apa yang dikatakan kepada Nabi Isa a.s. : "Hai anak Maryam ! Beri pengajaranlah dirimu ! Jika sudah, maka barulah beri pengajaran pula orang banyak. Dan jika belum maka patutlah engkau merasa malu kepada Tuhan kamu".

Dan jika engkau terpaksa jua memikul beban yang berat itu, jagalah dirimu dari dua perkara.

Pertama dari sikap berbuat-buat dalam bercakap, memakaikan ibarat-ibarat dan isyarat-isyarat, seruan yang bernyala-nyala, berbagai-bagai seloka dan syair, kerana Allah tak suka kepada orang yang memberat-berati diri mengejar tuah. Memberat-berati diri melampaui batas itu menunjukkan kebinasaan batin dan kekosongan hati.

Dan maksud "memberi peringatan" itu, ialah bahawa ingat seorang hamba akan neraka akhirat dan kelalaian dirinya dalam berkhidmat kepada Allah, dan berfikir ia tentang umurnya yang telah dibuang-buangnya dalam perkara-perkara yang tidak berguna kepadanya, dan berkira-kira ia tentang jalan sukar yang dihadapinya, kalau-kalau tak sentosa kedudukan imannya diakhir saat umurnya dan betapa halnya ketika malakul-maut mencabut nyawanya, dan adakah akan dapat ia menjawab pertanyaan Munkar dan Nakir, dan diutamakannya keadaannya dihari kiamat dan tempat-tempat pemeriksaan perkara padanya, dan adakah ia akan dapat melintasi Siratalmustaqim dengan selamat ataukah ia akan jatuh kedalam Hawiah; dan terus menerus ia mengingati segala ini didalam hatinya supaya ia terlepas dari ikatan kelalaiannya.

Maka bergeloranya api ini dan ratap-tangis menghadapi bahaya yang begitu besar dinamai (buah dari) pekerjaan memberi peringatan. Dan memberitahu orang banyak dan membukakan mata hati mereka terhadap kelalaian dan kesia-siaan mereka dan menunjukkan kehadapan mata mereka aib diri mereka supaya sampai panas api ini kepada anggota majlis, dan mara-bahaya yang banyak itu menghancurkan hati mereka, supaya mereka berusaha menyusul umur mereka yang telah tersia-sia sedapat-dapatnya, dan mereka menyesali hari yang habis bukan untuk berbuat taat kepada Allah itu - kesemua ini dinamai "memberi pengajaran dan nasihat".

Umpama kalau engkau melihat air bah sedang mengancam sesorang, sedang ia dan keluarganya didalam rumah itu, tentulah engkau akan berseru; awas, awas, air bah ! Larilah keluar rumah, larilah ! Adakah akan timbul keinginanmu didalam kejadian itu memberi ingat penghuni rumah dengan memberat-berati diri memakaikan ibarat-ibarat, perkara yang pelik-pelik dan isyarat-isyarat? Tentu tidak, sekali-kali tidak ! Demikian pulalah halnya dengan juru nasihat, patut ia menjauhinya.

Yang kedua, jangan sampai ada sengajamu dalam memberi pengajaran dan nasihat itu supaya orang mengeluh dalam majlismu, menyatakan duka, mengoyak baju - supaya dikatakan orang majlismu adalah majlis yang baik, kerana sekeliannya itu (tanda) cenderung kepada dunia, dan yang demikian itu timbul dari hati yang alpa. Sebaiknya, patut sekali bahawa ada kehendak dan maksudmu menyeru manusia dari dunia dan akhirat, dari maksiat dan taat, dan dari sifat haloba dan tamak kepada zuhud, yang kosong kepada bertaqwa, dan engkau bimbing hati mereka supaya cinta kepada akhirat dan benci kepada dunia (*), dan engkau ajarkan kepada mereka ilmu ibadat dan jalan memisahkan hati dari dunia untuk beribadat itu.

(*) Dunia dalam kehidupan manusia beragama ada dua macam, pertama dunia untuk dunia, kedua dunia untuk akhirat, iaitu dunia yang didalam hadis disebut "dunia yang menyampaikan kita menuju akhirat". Adapun dunia yang disini dianjurkan supaya dibenci, tentulah dunia yang semata-mata untuk dunia, iaitu dunia yang tidak ada sedikit pun guna dan persangkutannya dengan jalan kesempurnaan akhirat.

Kerana yang ghaib dalam tabiat mereka itu menyimpang, menyimpang dari kelurusan hukum syarak, membuang tenaga kepada barang yang tidak disukai Allah dan menjatuhkan diri dengan akhlak yang rendah-rendah. Sebab itu maka bangkitkanlah rasa takut didalam hati mereka dan berilah peringatan tentang keadaan-keadaan yang menakutkan yang akan mereka jumpai.

Mudah-mudahan sifat kebatinan mereka mahu berubah, dan cara pergaulan mereka yang zahir pun bertukar, dan mereka melahirkan keinginan dan kehendak yang bersungguh-sungguh didalam perilaku taat dan kembali daripada maksiat.

Inilah jalan memberi pengajaran dan nasihat, dan tiap-tiap pengajaran dan nasihat yang tidak begini sifatnya, maka ia hanya akan meninggalkan akibat yang tidak baik atas yang mengucapkan dan yang mendengarnya, bahkan ada orang yang mengatakan, bahawa nasihat yang begitu termasuk bangsa gergasi dan syaitan yang menyesatkan makhluk dari jalan lurus yang mencelakakannya. Maka wajiblah orang menjauhkan diri daripadanya, kerana syaitan pun tidak akan dapat merosakkan agama seperti kerosakan yang dibuat oleh penasihat yang begitu. Dan barangsiapa yang ada mempunyai kekuatan dan kekuasaan, wajiblah ia menurunkannya dari mimbar nasihat dan pengajaran, dan mencegahnya melanjutkan pekerjaan itu. Itu pun termasuk "menyuruh yang makruf dan mencegah yang munkar" juga.

Perkara yang ketiga, yang akan engkau jauhi, ialah bercampur-gaul dan melihat amir-amir dan sultan-sultan, kerana melihat dan bercampur-gaul dengan mereka itu adalah suatu bencana yang sangat besar. Dan kalau engkau terpaksa berbuat demikian, tinggalkanlah kebiasaan memuji-muji dan mengangkat-ngangkat nama mereka, kerana Allah tidak suka orang fasik dan zalim itu dipuji-puji dan diangkat-angkat namanya. Dan barangsiapa yang berdoa yang memintakan panjang umur mereka tandanya ia suka dan tidak keberatan Allah didurhakai diatas bumiNya.

Keempat, bahawa tidak engkau terima sedikit pun dari pemberian dan hadiah dari amir-amir itu, sekali pun engkau tahu bahawa ia berasal dari yang halal.

Kerana hidup berharap kepada pemberian mereka itu adalah merosakkan agama orang. Dari yang demikian kelak akan timbul kebiasaan berminyak-air (mencampur-aduk hukum-hakam), [demi] perasaan hendak menjaga nama mereka. Sedang kesemuanya itu adalah pokok kerosakan agama. Sekurang-kurangnya apabila engkau telah menerima pemberian mereka, engkau akan cinta kepada mereka. Dan barangsiapa yang cinta kepada seseorang, tidak boleh tidak ia akan mengharap jua panjang umurnya dan kekal kedudukannya.

Didalam suka pada kekalnya sizalim itulah letaknya kehendak menyamai perbuatan zalim atas hamba Allah yang banyak dan rosaknya alam ini. Maka apakah lagi yang lebih besar bahayanya daripada kejadian dan sifat ini?

Hati-hati, hati-hatilah ! Jangan sampai engkau terpedaya oleh pujukan syaitan dan kata orang, bahawa yang lebih baik dan lebih utama engkau ambil jua dinar dan darham itu dari tangan mereka, dan engkau bahagi-bahagikan kepada fakir dan miskin, sebab mereka itu membuang-buang harta kekayaan itu untuk perbuatan fasik dan maksiat, dan cara engkau menggunakan untuk orang yang lemah demikian lebih baik daripada cara yang mereka pakai.

Hati-hatilah, kerana syaitan yang terkutuk itu telah banyak menebas batang-leher orang dengan bisikan-bisikan yang begini. Dan perkara itu telah aku sebutkan jua, didalam "Ihya Ulumuddin", lihatlah disana ! (*).

(*)   Nasihat ini (perkara ke-3 dan ke-4) menggambarkan dengan sangat jelasnya betapa besar kerosakan budi orang-orang yang memegang kekuasaan pemerintahan dan pemimpin-pemimpin kerajaan pada ketika itu, sehingga Imam Ghazali menganjurkan sikap menjauhkan diri dari amir-amir dan sultan-sultan.

Dan ada pun akan empat perkara lagi yang patut engkau lakukan dengan bersungguh-sungguh,

pertama : bahawa engkau hendaklah mengatur mu'amalahmu berhadapan dengan Allah menurut bandingan; umpama hambamu menjalankan mu'amalahnya dengan cara demikian terhadapmu, telah redhalah dan senanglah perasaanmu kepadanya, tidak engkau bersempit dada dan berkecil hati lagi kerananya; dan barang apa yang tidak engkau sukai yang dibuat oleh hambamu yang majazi (yang hanya namanya saja "hamba") terhadap dirimu, tidak pula engkau suka membuatnya terhadap Allah Ta'ala; dan Dia lah tuanmu yang hakiki (tuan yang sebenar-benar tuan).

Yang kedua, tiap-tiap engkau berbuat barang sesuatu yang berhubungan dengan orang lain, lakukanlah sebagaimana yang engkau sukai untuk dirimu, seumpama orang lain yang melakukannya. Kerana tidak bernama sempurna iman seseorang, hingga ia suka untuk orang lain apa yang disukainya untuk dirinya sendiri.

Yang ketiga, apabila engkau mempelajari dan mendalami sesuatu ilmu, hendaklah ilmumu itu meluruskan hati dan membersihkan diri. Kalau engkau mengetahui bahawa umurmu hanya tinggal sepekan lagi, maka tak boleh tidak engkau tidak akan membuang-buang tenaga mempelajari ilmu fiqah, akhlak, usul, ilmu kalam dan sebagainya - sebab engkau tahu, ilmu-ilmu ini tidak akan berguna kepadamu - melainkan engkau bersungguh-sungguh menjaga hati dari ikatan dunia, dan membersihkan diri dari budi pekerti yang rendah-rendah, dan memenuhi hati dengan cinta kepada Allah dan beribadat kepadaNya serta memakaikan sifat-sifat yang utama. Dan tidak berlalu satu hari dan satu malam atas kehidupan seseorang melainkan boleh jadi "matinya" terjadi pada satu saat didalamnya.

Hai Anak ! Dengarlah dari mulutku sepatah kata lagi dan fikirkanlah sedalam-dalamnya hingga engkau beroleh jalan lepas dari rasa kesempitan dunia ini. Jika kepadamu disampaikan khabar, bahawa sultan akan mengangkat engkau menjadi wazir, sepekan lagi, tentulah didalam masa sepekan itu tak lain yang engkau pentingkan melainkan menyiapkan dan memperbaiki segala apa yang pada fikiran engkau pandangan sultan terutama [yang] akan jatuh kepadamu; seperti pakaian, badan, rumah, alat kelengkapannya dan lain-lain sebagainya. Sekarang fikir sendirilah apa yang aku isyaratkan itu ! Engkau seorang yang berfaham dalam, dan kata yang sepatah memadailah ! Bukankah Rasulullah SAW telah berkata : "Bahawa Allah tidak memandang rupa dan perbuatanmu, akan tetapi Dia memandang hati dan niatmu".

Dan jika engkau bermaksud hendak mengetahui hal-ehwal hati, bukalah "Ihya Ulumuddin" dan beberapa karanganku yang lain ! Ilmu ini adalah fardhu 'ain, dan yang lain-lainnya adalah ilmu kifayah, kecuali sekadar yang dengan dia dapat dengan saksama dipenuhi amal yang wajib kepada Allah - Dia lah yang memberi engkau taufik sampai engkau mendapatkan dia.

Dan yang keempat, bahawa tidak engkau kumpulkan dari harta kekayaan dunia lebih dari keperluan setahun, sebagaimana Rasulullah SAW berbuat demikian, untuk sebahagian isterinya dan ia berdoa : "Ya Allah ! Jadikanlah makan minum keluarga Muhammad sekadar cukup sahaja". Demikianlah ia menyediakan keperluan rumah-tangga bagi isteri-isterinya yang berhati lemah. Ada pun yang berhati yakin, tidak pernah Nabi memberi persediaan yang lebih dari keperluan satu setengah hari.

Hai Anak ! Telah aku tuliskan dalam fasal ini barang apa kehendakmu, maka patutlah ia engkau amalkan, dan dalam pada itu janganlah engkau lupa mengingatku dalam doamu yang baik-baik.