Ahad, 3 Januari 2016

AMALAN YANG BOLEH MENJADI SYAFAAT DI AKHIRAT




Sebagai umat Islam yang beriman dan bertaqwa, menghayati amalan-amalan yang akan menjadi syafaat di hari kiamat itu penting dan perlu difahami dengan sebaiknya. Syafaat atau pertolongan juga diperlukan selama kita berada didunia, disamping kita beramal soleh dan melakukan amal kebajikan. Berkemungkinan semua amalan yang telah kita kumpulkan selama didunia ini tidak mencukupi untuk membuat neraca timbangan di Mizan lebih berat, kerana selain dari kebaikan yang kita telah lakukan, kita juga tidak terlepas dari melakukan dosa dan kejahatan, secara rohani dan jasmani secara sedar atau pun tidak.


Tiga Amalan yang Akan Menjadi Syafaat di Hari Kiamat


1. Amalan pertama ialah menjauhi dusta dan pertelingkahan serta memperbaiki akhlak. Dalam riwayat Abu Daud, Rasulullah SAW bersabda, [bermaksud] : bahawa beliau adalah penjamin bagi seseorang untuk mendapatkan sebuah mahligai dihalaman syurga bagi mereka yang mengelakkan perselisihan faham meskipun pertelingkahan tersebut mempunyai kebenaran; dan sebuah mahligai dipertengahan syurga bagi mereka yang menjauhi dusta sekalipun ianya hanya satu gurauan; serta sebuah mahligai dipuncak syurga bagi orang yang sentiasa berbudi mulia dan memperbaiki akhlak.

Allah SWT dan Rasul-Nya membenci orang-orang yang suka bertikam lidah walau pun perkara tersebut ada kebenarannya kerana orang sebegini akan merosakkan hubungan baik dalam sesebuah masyarakat. Pertolongan dan syafaat Rasulullah SAW juga tidak akan diperolehi diakhirat nanti oleh mereka yang berakhlak buruk, suka berdusta dan suka berselisih faham.

Umat Islam juga dilarang melakukan dusta kerana perbuatan tersebut boleh membawa kepada fitnah dan akhirnya boleh mengakibatkan permusuhan dan ketidak-harmonian dalam masyarakat. Meninggalkan segala perkara yang dilarang agama adalah sebahagian dari usaha memperbaiki akhlak yang berupaya memperoleh syafaat dari Rasulullah SAW.

2. Amalan kedua ialah bersalawat kepada Rasulullah SAW. Dalam hadis riwayat Ibnu Mas’ud r.a., Rasulullah bersabda, [bermaksud] : bahawa syafaat dari Rasulullah boleh diperolehi oleh orang-orang yang banyak bersalawat kepada beliau. Dalam hadis riwayat Al Baihaqi dan Al Khatib tentang amalan untuk menjolok syafaat, Nabi SAW bersabda, [bermaksud] : bahawa sesiapa yang bersalawat kepada beliau disisi maqamnya maka beliau mendengarnya, tapi apabila salawat dilakukan dari jauh, salawat tersebut akan diterima oleh malaikat dan disampaikannya kepada Nabi dan Nabi akan menyempurnakan urusan keduniaan dan diakhirat nanti Nabi akan menyaksikan dan membelanya.

3. Amalan terakhir dari tiga amalan yang tidak terputus ialah membaca Al-Qur’an dan memahami maksud sebenar segala yang tertulis di dalamnya. Seperti terdapat di dalam hadis riwayat Muslim, Rasulullah bersabda, [bermaksud] : bahawa Al-Qur’an harus selalu dibaca kerana ia akan datang di hari akhirat nanti sebagai pemberi pertolongan kepada tuannya (yang membacanya).


Untuk mengetahui jenis-jenis syafaat Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW diakhirat nanti, sila baca DISINI.