Isnin, 4 Januari 2016

FADHILAT AMALAN AYAT AL-KURSI


Ayat Kursi


Lanjutan daripada kisah wanita muslimah yang mendapat pertolongan tanpa disedarinya sendiri hasil daripada keyakinan dan pergantungan harap kepada pertolongan Allah SWT dengan membaca Ayat Kursi (sila dibaca DISINI), saya salinkan dibawah ini diantara fadhilat-fadhilat dan faedah daripada amalan membaca ayat tersebut sepertimana terdapat dalam buku 'Yaasiin, Tahlil, Zikir, Solat-solat Sunat dan Doa-doa Keperluan Harian' susunan Haji Johari Haji Alias terbitan pertama tahun 1993.


Terdapat banyak Hadis Rasulullah SAW (yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan lain-lain) yang menerangkan fadhilat-fadhilat itu. Diantaranya ialah :

  1. Sesiapa yang sentiasa beramal membacanya pada setiap kali selepas solat, nescaya dikurniakan pahala seumpama pahala orang yang muttaqin dan pahala balasan amal orang-orang siddiqin iaitu syurga.

  2. Sesiapa yang membaca Ayat Al-Kursi ketika hendak tidur, nescaya Allah mengurniakan keselamatan kepadanya dan jiran-jirannya.

  3. Sesiapa yang membaca  Ayat Al-Kursi sebanyak 170 kali pada waktu tengah malam kerana sesuatu hajat, Insya-Allah akan berhasil hajatnya.

  4. Sesiapa yang menemui halangan atau kesusahan dalam usaha mencari rezeki, bacalah Ayat Al-Kursi 170 kali, Insya-Allah akan terlepas dari kesusahan itu dan mudah rezekinya serta tercapai hajatnya.

  5. Sesiapa yang membaca Ayat Al-Kursi sebanyak 170 kali, diikuti dengan solat hajat ditengah malam pada tempat yang sunyi dan bersih, Insya-Allah akan berhasil hajatnya.

  6. Sesiapa yang naik marah, bacalah Ayat Al-Kursi, Insya-Allah akan dijauhkan daripada syaitan yang memanaskan hatinya. Mereka yang rajin mengamalkan membaca Ayat Al-Kursi dapat dijauhi dari bala bencana dan gangguan syaitan.

Sebelum Ayat Al-Kursi diamalkan mengikut hajat masing-masing, elok solat sunat lebih dahulu, seperti solat sunat Hajat, solat sunat Tahajjud atau solat sunat Mutlak.

"Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia Yang Hidup kekal lagi terus menerus mengurus (makhluk-Nya); tidak mengantuk dan tidak tidur. Kepunyaan-Nya apa yang di langit dan di bumi. Tiada yang dapat memberi syafa'at di sisi Allah tanpa izin-Nya? Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya. Kursi Allah meliputi langit dan bumi. Dan Allah tidak merasa berat memelihara keduanya, dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar."
(QS. Al Baqarah, 2:255)